Nahas 12 motosikal: Laju, cuba celah kenderaan punca awal kemalangan

TANJUNG MALIM – Menunggang motosikal pada kelajuan tinggi sebelum cuba mencelah antara kenderaan dipercayai menjadi punca kemalangan maut membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kumpulan penunggang motosikal terbabit dipercayai bergerak laju sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta.

“Kita percaya mereka ini membawa motosikal dengan laju dan cuba melalui di celah-celah kenderaan. Jadi, kita percaya mereka hilang kawalan dan terus melanggar kereta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai itu berlaku apabila kumpulan pertama penunggang motosikal gagal mengawal motosikal masing-masing sebelum merempuh kereta jenis Toyota Vios berkenaan.

Jelas beliau, susulan pelanggaran itu, kumpulan kedua penunggang motosikal gagal mengelak lalu melanggar motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

Bagaimanapun Mohd Alwi berkata,  siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik sebenar kenderaan yang terlibat.

Sementara itu beliau berkata, kesemua pihak yang terlibat dalam kemalangan itu telah dikenal pasti, manakala penunggang motosikal dan pemandu kereta sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Keseluruhannya, seramai 20 individu terlibat dalam kejadian itu dan daripada jumlah tersebut, 15 orang sudah diambil keterangan termasuk tiga pemandu kereta. Manakala lima lagi individu yang masih menerima rawatan belum lagi diambil keterangan.

“Dalam kalangan mereka yang terlibat, ada yang masih belajar dan di bawah umur. Jadi, kita akan turut mengambil keterangan ibu bapa atau penjaga mereka,” ujarnya.

Pada perkembangan sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi anak-anak di bawah jagaan masing-masing khususnya yang masih di bawah umur.

Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap ibu bapa sekiranya mendapati anak di bawah jagaan mereka terlibat dalam sebarang kegiatan lumba haram.

“Langkah itu penting bagi memastikan anak-anak tidak terlibat dalam kegiatan samseng jalanan yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kemalangan 12 motosikal: Polis belum sahkan babit kegiatan lumba haram

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI