TANJUNG MALIM – Kawasan industri Tanjong Malim Hi-Tech Park yang dibangunkan di atas tanah seluas 180.93 hektar di sini melibatkan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan itu dilihat dapat mengukuhkan lagi kedudukan daerah Muallim sebagai hab automotif dan perindustrian.
Katanya, bagi pembangunan fasa pertama seluas 42.09 hektar, kira-kira 50 peratus kawasan berkenaan sudah mendapat pengambilan.
“Angka-angka ini membawa satu mesej yang cukup jelas, iaitu adanya keyakinan terhadap masa depan Tanjong Malim.
“Ini kerana keputusan untuk membuka kilang, membeli tanah industri atau memindahkan operasi bukanlah keputusan kecil.
“Syarikat melihat pasaran, infrastruktur, tenaga kerja, rantaian bekalan dan potensi sesuatu kawasan untuk berkembang dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Tanjong Malim Hi-Tech Park, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Pengarah Setia Awan Land Sdn Bhd (Setia Awan), Datuk Marcus Doh.
Tanjong Malim Hi-Tech Park dibangunkan Setia Awan itu dijangka siap pada suku ketiga 2029 dengan pembangunan fasa pertama merangkumi lot tanah perindustrian dengan keluasan bermula dua hektar, selain pilihan pembelian dan pajakan.
Saarani berkata, pembangunan kawasan industri itu melengkapkan ekosistem automotif sedia ada di daerah ini yang turut merangkumi kawasan Automotive High-Tech Valley (AHTV).
Menurut beliau, perkembangan industri di kawasan berkenaan juga perlu disokong dengan kehadiran syarikat vendor, pengeluar komponen, penyedia teknologi, logistik serta pelbagai perkhidmatan sokongan bagi membentuk ekosistem industri yang lebih lengkap.
Beliau berkata, pembangunan kawasan industri turut perlu mengambil kira keperluan manusia yang bekerja dan menetap di sekitarnya, termasuk kemudahan perumahan, makanan, perkhidmatan dan perniagaan.
“Pembangunan industri tidak seharusnya berhenti apabila kilang siap dibina dan mesin mula beroperasi.
“Sebaliknya kita perlu membina sebuah kawasan yang bukan sahaja baik untuk syarikat menjalankan perniagaan, tetapi juga baik untuk manusia membina kehidupan,” katanya lagi.
Sementara itu, Marcus Doh, pihaknya menyasarkan Tanjong Malim Hi-Tech Park mampu menyediakan hingga 15,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kita berharap dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada mungkin 10,000 hingga 15,000,” katanya.
Setakat ini, pelabur yang mula menunjukkan minat untuk melabur di kawasan perindustrian itu termasuk Ningbo Fresh Technology Co. Ltd. dan Sheentech Automotive Systems Sdn. Bhd.
Tanjong Malim Hi-Tech Park juga akan dilengkapi dengan ‘Ionera’ sebagai komponen komersial seluas 27 ekar pula merangkumi 168 unit komersial untuk memenuhi keperluan perniagaan, pekerja, pengunjung dan komuniti sekitar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


