BATU GAJAH – Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemukan meninggal dunia dalam tandas di sebuah stesen minyak di Taman Tronoh Baru di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang.
Katanya, pihak polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki telah tersekat pada bahagian bingkai pintu tandas.
“Mangsa yang merupakan orang awam dipercayai singgah menggunakan tandas di stesen minyak berkenaan sebelum ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
“Lelaki itu yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba melaksanakan size up atau penilaian awal di lokasi sebelum melakukan kerja mengeluarkan mangsa dari celahan bingkai pintu tandas berkenaan.
“Anggota bomba melaraskan kedudukan mangsa sehingga berjaya dikeluarkan dan dibawa keluar dari tandas menggunakan pengusung. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II TBK, Mohd Kasirin Ibrahim bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah itu tamat sepenuhnya pada jam 3 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


