IPOH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memaklumkan kejadian melibatkan seorang guru disiplin dan beberapa pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar semalam tercetus susulan provokasi ketika pemeriksaan penampilan diri dijalankan.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu berlaku sewaktu pemeriksaan penampilan diri termasuk rambut pelajar di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan.
Menurutnya, ketika pemeriksaan tersebut dijalankan, tiga pelajar lelaki Tingkatan Lima didapati melanggar peraturan berkaitan warna rambut dan mereka kemudiannya diarahkan untuk berkumpul di bahagian tangga dewan.
“Bagaimanapun, beberapa pelajar didakwa enggan mematuhi arahan berkenaan malah mengeluarkan kata-kata kesat serta bercakap dengan nada kasar terhadap guru terbabit sehingga menyebabkan berlaku ketegangan.
“Susulan situasi itu, guru berkenaan dipercayai bertindak di luar jangka terhadap seorang pelajar terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pengetua sekolah yang berada di lokasi kemudian bertindak menenangkan keadaan, namun dua daripada pelajar terbabit bertindak berlari sambil menjerit sebelum meninggalkan kawasan sekolah.
Tambahnya, kejadian itu telah berjaya dikawal dan perbincangan telah diadakan secara berasingan bersama ibu bapa pelajar pada hari sama.
“Menerusi perbincangan tersebut, ibu bapa pelajar terbabit bersetuju supaya anak mereka mematuhi peraturan sekolah khususnya tidak lagi mewarnakan rambut serta berharap guru mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan,” ujarnya.
Terdahulu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah dilaporkan berkata, sedang menunggu laporan rasmi daripada JPN Perak bagi menentukan kesahihan kejadian tersebut sebelum sebarang tindakan diambil. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Seminar Pemerkasaan PPS bantu bendung salah laku pelajar di Perak


