Idea longgar berselindung di sebalik jata negara tak bertanggungjawab – Reezal

KUALA LUMPUR – Rakyat memerhati segala yang berlaku di atas penganjuran The Rain Rave Water Music Festival kerana program tersebut menjolok mata, hati, akal dan budi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, ada had kepada apa mahu ‘dijual’ kepada orang luar namun maruah bukan salah satu daripadanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, mereka yang membawa idea longgar budaya sebagai acara rasmi dan berselindung di sebalik jata negara tidak begitu bertanggungjawab.

Kata beliau, tidak pasti di mana untungnya penganjuran acara ini namun yang nampak jelas hanyalah rugi budaya dan muflis nilai sahaja.

“Saya sebenarnya cukup jarang untuk menyatakan pandangan yang boleh disifatkan menyanggah kepada inisiatif yang diusahakan Kerajaan atau mana-mana kementerian.

“Sebagai Pengerusi MATRADE, sebarang usaha menaikkan pendapatan kerajaan dan menambah minat kepada Malaysia akan saya beri sokongan penuh.

“Namun begitu, merujuk kepada The Rain Rave Water Music Festival, saya kurang dalil untuk memberikan sokongan dan dokongan. Saya merasakan ia terlalu longgar budaya dan sama sekali lari jauh daripada fikrah sebenar kepimpinan kerajaan sekarang,” tulis di Facebook.

Reezal menambah, kementerian atau menteri berkenaan perlu lebih sensitif dan ada hikmah dalam penganjuran acara yang bersesuaian.

Tegas beliau, jangan ambil sikap semberono, angkuh dan membuat sesuka hati kerana arus pelancongan global tidak semestinya mengikut jalan hedonisme dan sifar budaya.

“Kementerian (dan menteri) buatlah kerja sedikit dan fahami arus baru pelancongan yang berasaskan banyak ruang baru wellness and glow-cation, lore chasing (pelancongan berasaskan cerita setempat), mencari kekuatan pelancongan berasaskan pengalaman (experiential tourism) dan lain-lain.

“Malaysia menduduki tempat pertama pelancongan halal (Global State of Islamic Economy) selama sebelas tahun berturut-turut tanpa sambutan ala-songkran pun!

“Kita faham ada keperluan mendesak untuk Malaysia mendapat manfaat ekonomi sektor pelancongan. Potensi pelancongan halal, menjelang 2028 – dikatakan mencapai angka 336 bilion dolar Amerika. Cukup tinggi. Tetapi ini tidak bererti kita perlu menutup jalan dan melihat manusia terkinja-kinja tanpa tujuan. Ini bukan cara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI