KAMPAR – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda di kilometer (km) 29.4 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 10.35 malam itu, kanak-kanak lelaki yang berada dalam sebuah kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Katanya, insiden itu telah mengakibatkan kenderaan pacuan empat roda terbabit merempuh dua kenderaan lain yang sedang bergerak iaitu kereta Perodua Bezza dan Perodua Myvi.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu Perodua Bezza berusia 46 tahun dan seorang penumpang berusia 13 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
“Seorang lagi mangsa dalam kereta sama mengalami kecederaan di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Beliau berkata, bagaimanapun pemandu Toyota Hilux dan Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohamad Nazri memaklumkan, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk menjalani proses bedah siasat.
Pada masa beliau berkata, pemandu Toyota Hilux yang berusia 44 tahun dalam nahas itu ditahan bagi membantu siasatan di samping ujian air kencing mendapati lelaki itu positif ganja.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu maut, traktor mini angkut sawit terbalik dalam parit


