KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara termasuk dua kematian akibat strok haba bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, dua kes kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.
“Kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1.
“Namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan,” menurut KKM dalam satu kenyataan.
Menurut KKM, daripada jumlah keseluruhan, 47 kes melibatkan kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kekejangan haba.
Kementerian berkenaan memaklumkan analisis menunjukkan 58 peratus kes penyakit berkaitan cuaca panas adalah berkait dengan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.
“Daripada jumlah tersebut, hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan dan maraton manakala sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan keselamatan dan operasi.
“Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan semasa cuaca panas,” menurut kenyataan itu.
Antara langkah pencegahan yang dicadangkan KKM ialah orang ramai perlu mengehadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas dan sekiranya terpaksa bekerja di bawah cuaca panas, banyakkan masa untuk berehat di tempat teduh bagi menyejukkan badan.
Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk memperbanyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan badan kekal terhidrat serta menggunakan pelindung diri seperti topi, payung, pakaian yang ringan dan berwarna cerah. – MalaysiaGazette


