IPOH – Orang ramai diminta supaya menghentikan polemik berhubung surau lama, Surau al-Karamah Kampung Seri Keramat, Pasir Putih di sini yang dirobohkan baru-baru ini serta menerima keputusan yang telah dibuat dengan berlapang dada.
Pengerusi Surau al-Karamah Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Pengkalan Pertama, Rosli Mhd Daud berkata, ini memandangkan setiap prosedur dan tindakan yang dilaksanakan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang serta saluran yang sah.
Sebaliknya, beliau menyeru penduduk di kawasan tersebut khususnya supaya terus bersatu hati dan menggembleng tenaga bagi merealisasikan pembinaan masjid baharu demi kepentingan masyarakat serta generasi akan datang.
Pada masa sama, beliau juga memohon supaya seluruh penduduk perlu berlapang dada menerima keputusan mahkamah dan tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya bersama-sama membina masa depan lebih baik.
“Lebih baik kita menggembleng tenaga penduduk kampung ini, bersatu hati kembali untuk kita melupakan apa yang telah berlaku dan kita teruskan perjuangan kita untuk membina masjid pula, untuk membina masjid baharu di kawasan Pengkalan Pertama,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Rosli turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak luar dan netizen yang didakwa membuat pelbagai andaian serta kecaman tanpa memahami situasi sebenar.

“Saya secara peribadi amat kecewa, amat sedih bila media dipergunakan sewenang-wenangnya oleh orang-orang luar sana, netizen di luar sana yang memaki hamun, menghukum pihak polis, pihak berkuasa dan kakitangan kerajaan.
“Mereka yang di luar sana yang tak tahu apa cerita yang tiba-tiba terus memaki hamun,” ujarnya.
Tambahnya, masyarakat perlu menjadi warga yang bijak dalam menilai sesuatu isu dengan membezakan fakta dan fitnah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Katanya, fokus utama kini beralih kepada usaha membina masjid baharu di kawasan sama dari surau lama dan surau gantian.
“Sekarang ini kami fokus pula ke arah untuk membina satu masjid baharu di kawasan sini juga dalam lingkungan 500 meter daripada kawasan surau lama dan surau baru ini.
“Kami telah mendapat kelulusan sebidang tanah yang telah digazetkan dan diwakafkan lima tahun lepas tak silap saya,” jelasnya.
Beliau berkata, tanah tersebut telah diluluskan serta digazetkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), manakala usaha pengumpulan dana sedang giat dijalankan melibatkan ahli kariah serta bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, Imam kedua Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama, Sahabani Hairun berkata, menyeru supaya isu lama berkaitan surau terdahulu tidak wajar terus dipanjangkan memandangkan ia sudah selesai tetapi memberi tumpuan kepada usaha mengimarahkan surau sedia ada.
Menurutnya, sepanjang tiga tahun beroperasi, surau berkenaan terus menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Dalam tempoh tiga tahun surau ini (beroperasi), alhamdulillah, lima waktu memang ramai orang sembahyang.
“Setakat ini kalau ada program, pengajian, memang ramai penduduk yang datang. Sambutan jamuan hari raya pun ramai juga yang datang. Kita dah tiga kali buat sepanjang tiga tahun surau ini beroperasi,” ujarnya.
Sahabani berkata, surau berkenaan juga sentiasa terbuka menerima kehadiran jemaah luar termasuk kumpulan tabligh yang pernah beberapa kali berkunjung ke situ.

Terdahulu, surau lama, Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Putih telah dirobohkan dalam satu operasi yang dikawal polis, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, proses perobohan berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan selepas mendapat kebenaran melalui perintah Mahkamah Tinggi Ipoh selaras dengan peruntukan undang-undang.
Katanya, operasi turut melibatkan kehadiran bailif mahkamah, pihak pemaju kawasan perumahan serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan MAIPk. – MG Perak
Artikel berkaitan:
Surau al-Karamah: ‘Isu sudah lama selesai, orang luar cuba ungkit’


