PUTRAJAYA – Kerajaan mengakui berdepan cabaran untuk memastikan usaha menyampaikan subsidi kepada kumpulan sasaran namun pada masa sama tidak mahu memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ia kerana pengkelasan kategori pendapatan baharu seperti T15 mungkin menyebabkan terdapat kalangan rakyat tidak akan mendapat lagi subsidi sedia ada.
“Itu antara cabaran yang kita hadapilah untuk memastikan dalam usaha kita menyampaikan subsidi ini kepada kumpulan sasaran tetapi juga kita tidak mahu sehingga memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan.
“Atau pun dari segi ketersediaan untuk beralih sepenuhnya jadi ini antara intipati yang menjadi perbincangan untuk menentukan di manakah garis pemisah antara mereka yang sewajarnya menerima subsidi itu
“Dan juga mereka yang memang mungkin sebaiknya dikeluarkan daripada sistem perkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada entiti diluluskan di bawah kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan ARM Limited dalam industri semikonduktor di kementerian di sini hari ini.
Sebelum itu Akmal Nasrullah ditanya kebimbangan golongan M40 di mana mungkin mereka juga akan termasuk dalam kumpulan T15 sehingga menyebabkan tidak akan mendapat subsidi lagi.
Semalam media melaporkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi termasuk kumpulan T15 dan T20.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kertas cadangan berkaitan perkara itu telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican dan kini berada di peringkat akhir penelitian.
Ditanya bagaimana pengkategorian T15 dibuat, Akmal Nasrullah berkata, data-data yang diberi pertimbangan menerusi aspek penilaian daripada segi pendapatan selain aspek-aspek yang lain.
Jelas beliau, perincian itu telah diputuskan di mana perkongsian dasar atau pendekatan itu telah diguna pakai namun ruang perlu diberikan sekiranya terdapat rayuan dan sebagainya.
“Perkara itu juga bila ada garis pemisah yang lebih jelas akan memudahkan penerimaan daripada kumpulan-kumpulan sasaran itu.
“Jadi sudah pasti data point yang ada itu kalau daripada segmen daripada Kementerian Ekonomi memang kita bersedia menjadi sebahagian daripada penentuan atau pun rujukan untuk data-data atau dimensi yang kita akan pertimbangkan,” katanya.
Tambah Akmal Nasrullah, perincian pelaksanaan subsidi bersasar itu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum bermulanya bulan hadapan, dengan pelaksanaannya berkemungkinan bermula pada awal bulan namun perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.
“Kalau pandangan saya, sebaiknya kita boleh memuktamadkan sebelum bermulanya bulan yang baharu.
“Saya jangkakan apabila dilaksanakan nanti, kemungkinan besar ia akan bermula pada awal bulan. Namun perkara ini masih di peringkat perbincangan,” katanya. – MGPerak


