UPSI, CIMB Islamic jalin kerjasama strategik perkasa Edu-Forest di Behrang

TANJUNG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan CIMB Islamic menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa UPSI Edu-Forest di Behrang menerusi penyaluran dana EcoSave-i berjumlah RM500,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar dan pembangunan komuniti lestari.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersepadu antara universiti, industri dan komuniti dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar serta pendidikan berasaskan alam semula jadi.

Menurutnya, dana berkenaan disalurkan bagi menyokong pelaksanaan program berimpak tinggi di UPSI Edu-Forest yang diuruskan melalui Pusat Biodiversiti dan Konservasi (CeBEC) dengan sokongan Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).

“Majlis pelancaran ini bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi seperti pendidikan biodiversiti, sains komuniti, inovasi hijau dan dokumentasi khazanah alam yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.

“Kita turut menghargai sokongan teknikal dan kepakaran daripada Forest House Sdn Bhd yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan aktiviti lapangan serta pengukuhan ekosistem konservasi.

“Saya berharap kerjasama strategik ini akan terus diperkukuh dan diperluas pada masa hadapan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta memperkukuh peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Kerjasama Strategik CIMB Islamic–CeBEC-UPSI Edu-Forest di UPSI Edu-Forest, Sungai Dara, Behrang dekat sini baru-baru ini.

UPSI, CIMB Islamic jalin kerjasama strategik perkasa Edu-Forest di Behrang
Suasana sekitar Majlis Pelancaran Projek Kerjasama Strategik CIMB Islamic–CeBEC-UPSI Edu-Forest di UPSI Edu-Forest, Sungai Dara, Behrang dekat Tanjung Malim, baru-baru ini. Foto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

Dalam pada itu,Pengerusi CIMB Islamic, Datin Azlina Mahmad berkata, sebagai institusi kewangan Islam, CIMB Islamic melihat kelestarian sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama demi kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, UPSI Edu-Forest bukan sahaja berfungsi sebagai ruang pembelajaran dan penyelidikan untuk pelajar serta pensyarah, malah menjadi platform citizen science dan medium meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti.

“Pembangunan komponen seperti watch tower, dek pemerhatian, denai hutan dan aktiviti penanaman semula turut membuka ruang penglibatan komuniti hijau termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi berkaitan dan sektor swasta dalam usaha pemantauan biodiversiti dan pengumpulan data lapangan.

“Projek itu juga memberi peluang kepada komuniti Orang Asli setempat terlibat dalam pembinaan denai pembelajaran dan pengurusan nurseri sekali gus membantu menjana sumber pendapatan komuniti.

“Kita bukan sekadar membina sebuah hutan pembelajaran, tetapi membangunkan ekosistem ilmu yang menghubungkan manusia, alam dan masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Forest House Sdn Bhd, Rayman Ariff Soh berkata UPSI Edu-Forest mempunyai potensi besar sebagai tapak pembelajaran, penyelidikan dan pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum.

“Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan denai pembelajaran bersama komuniti Orang Asli Kampung Tibang, pembinaan dek pandang dan watch tower, aktiviti bancian pokok, kutipan biji benih serta penanaman semula bagi memastikan usaha konservasi dijalankan secara mampan dan berimpak jangka Panjang,” jelasnya.

UPSI Edu-Forest yang terletak di Hutan Simpan Behrang meliputi keluasan kira-kira 25 ekar dan mempunyai status perlindungan “triple gazetted”, termasuk pewartaan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) serta komponen penting dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS). – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

UPSI, MyTutor Academy jalin kerjasama strategik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI