KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara mulai 1 Januari 2027 bagi memperkukuh aspek disiplin dan keselamatan pelajar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti hasil kajian keberkesanan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.
“Antaranya, warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama, selain menerima penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.
“Kehadiran warden yang kerap dan sistematik turut meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu beliau berkata, kajian tersebut diketuai Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman itu menghasilkan sembilan dapatan utama yang direkodkan dalam laporan setebal 191 muka surat.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kajian itu turut mendapati kehadiran warden membantu mewujudkan persekitaran asrama yang lebih selamat serta meningkatkan pematuhan pelajar terhadap jadual selain kekemasan diri dan asrama, selain membentuk nilai hormat dan adab.
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki
Katanya, dalam masa yang sama, warden terbabit juga berupaya memperkukuh dimensi kerohanian pelajar melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti keagamaan.
“Pada masa sama, pendekatan ini mengurangkan beban guru supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah pelajar,” katanya lagi.
Selain itu hasil kajian turut menunjukkan penurunan ketara isu berkaitan disiplin pelajar manakala kes buli sepanjang tempoh keberadaan warden terbabit dilaporkan hampir sifar.
Susulan dapatan positif itu, katanya, MARA mula melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di 10 MRSM sejak Julai lalu.
“Alhamdulillah, hasilnya setakat ini amat positif dengan penurunan kes-kes disiplin secara drastik di semua MRSM yang terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi meminta UPM bekerjasama dengan MARA menyediakan modul latihan khusus kepada warden baharu bagi memastikan mereka mempunyai pendekatan sesuai dalam mengendalikan pelajar MRSM.
“Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistik,” katanya lagi.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelidik Institut Pengajian Sosial UPM atas kajian yang disifatkannya menyeluruh dan bermanfaat kepada MARA serta MRSM.- MalaysiaGazette


