MPT kerjasama JPKK tangani isu haiwan ternakan berkeliaran

TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan menjalinkan kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menangani isu haiwan ternakan berkeliaran yang boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, pendekatan itu dipertimbangkan bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan serta operasi menangkap haiwan berkeliaran secara menyeluruh.

Katanya, menerusi kerjasama itu, JPKK setempat akan membantu menangkap dan mengawal haiwan ternakan berkeliaran sebelum pihak MPT dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Sekiranya JPKK berjaya menangkap haiwan ternakan misalnya lembu dan sebagainya, mereka boleh menahannya terlebih dahulu sebelum pihak kami datang mengambil haiwan berkenaan.

“Apabila haiwan itu dilupuskan, sebahagian daripada hasil pelupusan akan disalurkan kepada JPKK bagi menampung kos penjagaan termasuk makanan dan minuman haiwan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan ke Premis Makanan Terpilih Gred A di Pent Cafe Taiping, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan serta Pengarah Penjara Taiping, Rizalma Che Abd Hamid.

Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia masing-masing pada awal pagi Jumaat selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan haiwan ternakan di Trong, di sini.

Menerusi hantaran pada laman Facebook, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, mangsa dikenali sebagai Zulkifli Mohd Ghazali.

MPT pada laman Facebook juga memaklumkan, Zulkifli berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am Jabatan Zoo.

Mohamed Akmal berkata, beliau amat bersimpati dengan kejadian yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa, khususnya membabitkan anggota penguat kuasa MPT sendiri.

“Saya amat sedih apabila ia membabitkan anggota kakitangan saya sendiri dalam kemalangan sehingga kehilangan nyawa. Saya amat bersimpati, terutama kepada keluarga beliau,” katanya.

Mengulas tentang tindakan penguatkuasaan, Mohamed Akmal berkata, MPT juga pernah menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan Trong sebelum sambutan perayaan Deepavali baru-baru ini, namun hanya seekor lembu berkeliaran berjaya ditangkap.

“Keadaan biasanya begitu apabila aduan diterima, penduduk memaklumkan terdapat banyak lembu berkeliaran, tetapi apabila anggota penguat kuasa tiba di lokasi, haiwan berkenaan sudah tiada,” ujarnya.

Pada masa sama Mohamed Akmal berkata, kawasan berhampiran dengan ladang kelapa sawit dikenal pasti sebagai antara lokasi yang berpotensi berlaku insiden atau kemalangan membabitkan haiwan ternakan berkeliaran.

Kata beliau, misalnya, lembu yang dilepaskan di kawasan ladang berkenaan berkemungkinan keluar ke jalan raya sehingga meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

DUN Perak lulus usul wujudkan peraturan kawal haiwan berkeliaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI