GERIK – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 1,200 kilogram (kg) atau 1.2 tan daun disyaki ketum bernilai RM48,000 dalam satu operasi rondaan pencegahan jenayah di Bandariang, di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.40 pagi ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex.
Katanya, kenderaan berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Khas KPD di tepi jalan berhadapan Pejabat Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bandariang.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 120 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi daun berwarna hijau disyaki ketum dengan anggaran berat keseluruhan 1,200 kg,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, lelaki berkenaan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, masing-masing satu kes di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Abdul Samad berkata, susulan itu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang di daerah Hulu Perak.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras aktiviti berkenaan,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Lima lelaki ditahan dalam dua kes ketum di Kerian, Hilir Perak


