IPOH – Tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berhubung kenyataan yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW, meskipun beliau telah mengemukakan permohonan maaf.
Pengerusi Bersama Biro Agama Pemuda UMNO Perak, Al Yashir Yahaya berkata, langkah itu penting bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
Menurutnya, permohonan maaf yang dibuat Nik Zawawi tidak memadai sebagai penyelesaian sebaliknya tindakan lanjut oleh pihak berkuasa tetap perlu diambil.
“Kami menganggap tindakan ini adalah tindakan yang tidak patut dibuat oleh seorang Ahli Parlimen. Pertamanya kerana ia telah menjejaskan kerisauan ataupun kegusaran di antara umat Islam di Malaysia.
“Keduanya, ia tidak mencerminkan seorang umat Islam mencerca ataupun menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW sebegini rupa.
“Oleh yang demikian, atas rasa bertanggungjawab dan demi menjaga kedaulatan agama Islam di Malaysia, khususnya di Perak, kami telah membuat satu laporan agar polis mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kenyataan yang telah dilakukan oleh Nik Muhammad Zawawi.
“Walaupun kita difahamkan bahawa Yang Berhormat (YB) Nik Zawawi telah memohon maaf semalam, tetapi jika tiada tindakan diambil, perkara ini akan berulang-ulang. Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan agama sebagai alat politik.
“Kita berharap sesiapa saja, tidak kira parti, mahupun parti UMNO, Pas, ataupun parti lain jangan ambil enteng tentang perkara ini. Kita perlu bermuhasabah dan mesti menjalankan perkara yang betul bagi mengelakkan lagi perkara ini berlaku,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pergerakan Pemuda UMNO Perak diwakili seorang lagi Pengerusi Bersama Biro Agama, Muhammad Azhar Mohamad Yusop membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini petang tadi.
Sebelum ini, tular petikan ucapan Nik Zawawi yang menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Bekas Ketua Dewan Ulamak Pas itu menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.
Susulan itu, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau selain mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Difitnah larikan berbilion ringgit, jadi warga Turkiye, Farhash buat laporan polis


