PASIR SALAK – Lebih 3.5 tan sisa elektronik atau ‘e-waste’ berjaya dikumpulkan menerusi ‘Program Kelestarian Alam Sekitar: Pengumpulan E-Waste’ anjuran Kolej Komuniti Pasir Salak dengan kerjasama Masjid Jamek Al Ansar Changkat Lada di sini, baru-baru ini.
Program yang berlangsung di perkarangan Masjid Jamek Al Ansar Changkat Lada dengan kerjasama SRT Teck Realistic Sdn Bhd dan beberapa rakan strategik itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Selain sekitar Changkat Lada, program berkenaan turut dihadiri penduduk dari Kampung Gajah, Sitiawan, Lekir, Kuala Kangsar, Parit, Teluk Intan dan Chenderong Balai dengan membawa pelbagai peralatan elektrik dan elektronik rosak untuk dilupuskan secara selamat.
Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak, Mohd Shahrir Ahmad Zaini berkata, program berkenaan merupakan usaha berterusan institusi itu dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa elektronik secara bertanggungjawab.
Menurut beliau, inisiatif tersebut turut membantu membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian selain mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.
“Program seperti ini membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pada masa sama memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kaedah pelupusan e-waste yang lebih selamat, sistematik dan lestari.
“Ia juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 11 berkaitan bandar dan komuniti mampan, SDG 12 mengenai penggunaan serta pengeluaran bertanggungjawab dan SDG 13 berhubung tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Program, Norjunainah Juri berkata, kejayaan mengumpulkan lebih 3,500 kilogram e-waste dalam tempoh singkat membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar semakin meningkat.

Jelas beliau, antara barangan yang berjaya dikumpulkan termasuk televisyen, mesin basuh, komputer, telefon bimbit, pencetak, kipas, kabel dan pelbagai lagi peralatan elektrik rumah yang tidak lagi digunakan.
“Kejayaan tersebut turut didorong kerjasama erat antara komuniti setempat, agensi berkaitan dan sukarelawan yang komited menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.
“Program ini juga mendukung hasrat Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bagi tahun 2026 yang memberi fokus kepada pemantapan budaya hijau melalui agenda kelestarian secara menyeluruh dalam ekosistem POLYCC,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu menekankan pendidikan berteraskan teknologi hijau, pemerkasaan inovasi lestari dan pelaksanaan agenda SmartGreen bagi melahirkan tenaga kerja kolar hijau yang berkemahiran serta peka terhadap isu alam sekitar.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Al Ansar Changkat Lada, Idris Mohamed Yasin menyifatkan program berkenaan sebagai langkah terbaik dalam mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.
Menurut beliau, kerjasama antara institusi pendidikan, industri, masjid dan komuniti mampu membentuk budaya masyarakat yang lebih prihatin terhadap isu kelestarian.
“Program seperti ini memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana bukan sahaja membantu membersihkan persekitaran, malah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya pelupusan sisa elektronik secara betul demi masa depan generasi akan datang,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


