KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan cepat terhadap mana-mana individu didapati biadab dan mempersendakan kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu.
Mantan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee berpendapat, tindakan pantas tanpa perlu terlebih dahulu menunggu laporan polis perlu dibuat bagi menyekat penularan berita palsu atau perbuatan melampau menerusi aplikasi media sosial seperti TikTok.
“Jika pihak berkuasa lambat bertindak dan sekadar ‘melihat dan menunggu’ laporan polis dibuat, saya khuatir perbuatan jahat dan pencercaan terhadap institusi kesultanan Melayu akhirnya dianggap satu kebiasaan.
“Akhirnya generasi alaf baru yang hidup dizaman kecanggihan teknologi maklumat hilang rasa hormat dan kesetiaan kepada raja dan kesultanan Melayu sepertimana termaktub dalam piagam Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan kes kontroversi melibatkan penghinaan kepada institusi raja dalam kalangan ahli politik sejak kebelakangan ini.
Justeru, Syed Ali berharap tindakan segera terhadap mana-mana individu terbabit perlu disegerakan tanpa mengira anutan politik.
“Saya juga bimbang jika pihak berkuasa lambat bertindak dan hanya menunggu laporan dibuat, akan timbul dakwaan kononnya pihak berkuasa di negara ini membudayakan ‘undang-undang terpilih’ dan tindakan lebih menjurus kepada kepentingan politik,” katanya. – MalaysiaGazette


