GOPENG – Perak merancang memperluaskan Program ‘Perak Pawsitive Initiative’ ke daerah yang menghadapi masalah kekurangan akses perkhidmatan veterinar, termasuk di luar bandar bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan pemandulan haiwan peliharaan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah itu diambil selepas program berkenaan menunjukkan perkembangan positif sejak projek perintisnya dimulakan di Gopeng pada dua tahun lalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini mempunyai jaringan kerjasama lebih kukuh melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik haiwan dan doktor veterinar tempatan sekali gus memudahkan pelaksanaan program ke daerah lain.

“Saya juga sangat bersyukur kerana hasil kerjasama berterusan sebelum ini dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan veterinar dari luar negeri, kali ini kita akhirnya berjaya membentuk pasukan pemandulan Perak Pawsitive Initiative yang berasaskan kekuatan negeri Perak sendiri.
“Ini penting kerana kita mahu membina kapasiti tempatan supaya program seperti ini dapat dijalankan secara lebih konsisten dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan.
“Selepas ini, pihak kami juga merancang untuk memperluaskan lagi program pemandulan bersubsidi berskala besar ke kawasan yang kekurangan akses veterinar termasuk Manjung dan Kerian supaya lebih ramai masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Perak Pawsitive Initiative 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Baru Lawan Kuda, di sini, pada Ahad.
Menurut Shy Ching, bagi tempoh sehingga April tahun ini, sebanyak 1,651 ekor anjing dan kucing telah berjaya dimandulkan menerusi kempen pemandulan bersubsidi di bawah Perak Pawsitive Initiative.

Beliau berkata, selain itu sebanyak 1,220 lesen anjing turut berjaya dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) semasa program-program berkenaan dijalankan, dalam tempoh yang sama.
Mengulas lanjut Shy Ching berkata, meskipun pelaksanaan terhadap Program Perak Pawsitive Initiative telah memasuki edisi ke-10, namun isu lambakan haiwan jalanan terbiar di kawasan awam merupakan perkara kompleks yang dipengaruhi kepada pelbagai faktor.
Ujar beliau, selain sikap pemilik yang tidak bertanggungjawab dan kadar pembiakan haiwan yang cepat, kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap kepentingan pemandulan haiwan peliharaan juga menjadi antara punca utama yang mendorong kepada masalah ini.
“Apabila kita mula melaksanakan kempen ini, ramai pemilik anjing dan kucing yang masih tertanya-tanya mengenai keperluan serta kebaikan memandulkan haiwan peliharaan mereka.
“Sebab itu kita menjalinkan kerjasama erat bersama doktor veterinar dan NGO bagi menjelaskan implikasi positif pemandulan berdasarkan kajian sains, termasuk mengelakkan kelahiran tidak terkawal serta menjadikan haiwan lebih jinak.
“Langkah pemandulan ini juga terbukti dapat mengelakkan jangkitan penyakit berbahaya, sekali gus mendidik pemilik agar lebih bertanggungjawab bagi menyekat rantaian masalah sosial yang berkaitan dengan haiwan jalanan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak Pawsitive Initiative program pemandulan kucing bersubsidi


