KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines melakar sejarah apabila menerima pesawat Boeing 737-8 baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sekali gus melengkapkan penyerahan pesawat Boeing ke-200 kepada syarikat penerbangan nasional itu sejak tahun 1972.
Malaysia Aviation Group (MAG) dalam kenyataan berkata, pesawat terbaharu itu merupakan model keempat dengan nombor pendaftaran 9M-MVR diserahkan kepada syarikat penerbangan berkenaan pada tahun ini.
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.30 tengah hari semalam, selepas menempuh perjalanan selama 19 jam 44 minit dari Pusat Penghantaran Boeing di Seattle, Amerika Syarikat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, penambahan aset itu merupakan sebahagian daripada perancangan strategik berterusan syarikat dalam menumpukan perhatian kepada pemodenan armada.
“Penghantaran kali ini membawa signifikan yang amat besar kepada kumpulan bukan sekadar penambahan flit, malah mencerminkan sejarah operasi utuh yang menyokong pertumbuhan kapasiti syarikat sejak berdekad lalu.
“Pengenalan pesawat generasi baharu ini juga akan terus memperkukuh keupayaan syarikat untuk merebut peluang pertumbuhan masa depan serta memenuhi keperluan pasaran yang dinamik.
“Ia adalah sebahagian daripada misi mendalam kami untuk terus menghubungkan Malaysia dengan dunia, di samping menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih moden dan selesa kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Sejarah flit Malaysia Airlines sebelum ini pernah diwarnai oleh pengoperasian pesawat berbadan lebar ikonik seperti Boeing 747 dan Boeing 777 yang memacu keupayaan penerbangan jarak jauh negara pada fasa pertumbuhan utamanya.
Mengenai profil penerbangan berstatus MH5045 itu, pesawat berkenaan berlepas dari Seattle pada 21 Mei lalu pada pukul 2 petang waktu tempatan dan sebelum tiba di tanah air, ia telah melakukan hentian teknikal untuk mengisi minyak di Honolulu dan Guam.
Penerbangan bersejarah itu dikendalikan oleh Kapten Arian Syazwara B. Adenan, Kapten Mohd Aidilputra Abd Razak dan Pegawai Kanan Pertama, Ahmad Asnawi Ahmad Rahman.
Setakat ini, MAG telah menerima sebanyak 18 pesawat Boeing 737-8 daripada keseluruhan tempahan 55 buah pesawat koridor tunggal (narrowbody) jenama itu.
Baki tempahan yang merangkumi 43 buah Boeing 737-8 dan 12 buah Boeing 737-10 dengan jadual penyerahan yang dijangka berterusan secara berperingkat sehingga ke tahun 2030. – MalaysiaGazette


