Petugas cilik teruja kali pertama jadi petugas program korban

IPOH – Keterujaan untuk merasai sendiri pengalaman menjalani program ibadah korban mendorong seorang murid Tahun Lima untuk menjadi petugas pada program anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam di sini, pada Khamis.

Muhammad Aqif Muhammad Rusydi, 11, berkata, dia gembira apabila dapat membantu ahli keluarga dan petugas lain dalam menguruskan korban termasuk melibatkan proses memotong daging serta membuang kulit.

petugas cilik ibadah korban Aidiladha Ipoh, korban Sungai Rokam, kanak-kanak sertai korban, Masjid Idris Iskandar Shah 1, gotong-royong korban, belia masjid, korban lembu Perak
Muhammad Aqif Muhammad Rusydi, 11, petugas program ibadah korban bersempena dengan Aidiladha tahun ini anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 28 MEI 2026.

“Saya berasa seronok apabila dapat pegang lembu secara dekat dan merasai sendiri pengalaman buat kerja korban ini.

“Semalam (Rabu) saya mula bantu ayah dan datuk memotong daging lembu korban. Hari ini saya datang sekali lagi, sebab teruja nak tolong angkat daging korban menggunakan gerobak sorong,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program ibadah korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam di sini, pada Khamis.

Muhammad Aqif Muhammad Rusydi 11, (tiga,kanan) turut menjadi petugas program ibadah korban bersempena dengan Aidiladha tahun ini anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 28 MEI 2026.

Meskipun sebagai ‘petugas cilik’, murid di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang itu berkata, dia tidak berasa takut walaupun ia merupakan pengalaman kali pertama terlibat secara langsung dalam program ibadah korban.

“Saya tak takut tengok darah dan proses mengorbankan lembu, dan memang saya sendiri hendak ikut ayah dalam program ini sebab rasa serokok,” ujarnya.

Sementara itu, bapanya, Muhammad Rusydi Mohamad Rodzi, 36, berkata, minat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk timbul selepas sering dibawa untuk melihat suasana perjalanan program ibadah korban sejak kecil.

petugas cilik ibadah korban Aidiladha Ipoh, korban Sungai Rokam, kanak-kanak sertai korban, Masjid Idris Iskandar Shah 1, gotong-royong korban, belia masjid, korban lembu Perak
Muhammad Rusydi Mohamad Rodzi, 36, petugas program ibadah korban bersempena dengan Aidiladha tahun ini anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 28 MEI 2026.

“Saya tidak menyuruh, sebaliknya dia sendiri yang minta untuk ikut sebagai peserta program korban tahun ini.

“Malah, dia beritahu jika tak dapat buat apa-apa (membantu atau sebagai petugas), dapat datang nak tengok suasana pun jadi,” katanya.

Muhammad Rusydi yang hampir saban tahun terlibat sebagai ahli jawatankuasa program ibadah korban berkata, anak lelakinya itu juga kelihatan terlalu teruja selepas diberitahu dia dibenarkan untuk menyertai sebagai petugas.

“Seawal pagi sebelum masuk waktu Subuh, Muhammad Aqif sudah bangun dan bersiap mandi untuk ke sini lagi hari ini.

“Malah ketika pulang ke rumah selepas selesai program korban semalam, dia melompat-lompat ceria kerana terlalu seronok apabila dapat sertai program korban,” katanya lagi.

Petugas belia bergotong royong melapah daging lembu ketika program ibadah korban bersempena dengan Aidiladha tahun ini anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 28 MEI 2026.

Dalam pada itu beliau berkata, meskipun membenarkan anaknya itu menyertai sebagai petugas, namun tahap keselamatan kanak-kanak itu sentiasa diberikan keutamaan.

Menurut beliau, asas kemahiran termasuk dalam menggunakan pisau juga telah diterapkan di rumah apabila dia sering membantu ibunya di dapur.

petugas cilik ibadah korban Aidiladha Ipoh, korban Sungai Rokam, kanak-kanak sertai korban, Masjid Idris Iskandar Shah 1, gotong-royong korban, belia masjid, korban lembu Perak
Petugas semasa proses menumbangkan seekor kerbau ketika program ibadah korban bersempena dengan Aidiladha tahun ini anjuran Masjid Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 28 MEI 2026.

“Di rumah saya galakkan dia tolong ibunya untuk potong sayur dan buat kerja-kerja di dapur. Dari situ, dia belajar cara pegang pisau dengan betul dan selamat sebelum datang bantu di sini,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhammad Rusydi berkata, penglibatan kanak-kanak dalam program seperti ibadah korban perlu digalakkan bagi memupuk semangat bermasyarakat sejak kecil terutama dalam komuniti setempat.

“Kalau boleh dari darjah satu lagi kita sudah bawa mereka mengikuti program-program seperti ini supaya mereka biasa dengan suasana gotong-royong dan ibadah korban.

“Ini kerana, apabila mereka membesar nanti, mereka akan lebih yakin dan tidak kekok untuk bersama masyarakat,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

1,800 kariah Masjid Idris Iskandar Shah 1, terima daging korban

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI