IPOH – Penganjuran acara kesenian seperti festival muzik bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada sesebuah bandar malah ia mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, mengambil contoh penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur, acara festival muzik berkonsepkan air itu disifatkan sebagai mempunyai signifikan yang tidak seharusnya diketepikan.
Katanya, meskipun ia terpalit dengan kontroversi, namun acara yang diadakan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 itu telah berjaya menggamit kehadiran orang ramai dan pelancong ke Ibu Negara.

“Namun di sebalik segala ‘kebisingan’ itu, sesuatu yang jauh lebih bermakna sebenarnya telah berlaku. Ribuan rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa berhimpun serta menari bersama-sama di tengah-tengah Kuala Lumpur mengikut rentak yang sama.
“Pada saat-saat tersebut, perbezaan kaum dan agama menjadi tidak lagi penting, digantikan dengan rasa kegembiraan dan kebersamaan yang dikongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Muzikal Filharmonik MADANI 2026 anjuran The Kinta Valley String Orchestra (KVSO) di Auditorium RTM Perak, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee.

Tambah Kor Ming, acara seni dan budaya seperti acara persembahan muzik merupakan antara elemen penting dalam mewujudkan bandar yang lebih berdaya huni.
Kata beliau, ia bukan sahaja menghidupkan ruang bandar, malah membantu mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Keharmonian yang kita alami pada malam ini tidak seharusnya terhenti dalam dewan ini sahaja. Sebaliknya, ia mesti menjadi prinsip panduan kepada negara kita.
“Marilah kita menolak ekstremisme dalam apa jua bentuk, mengatasi kebencian dan prasangka, serta menggantikan kebisingan perpecahan dengan irama persefahaman, belas ihsan dan saling menghormati,” katanya lagi.

Ujar beliau, tanggungjawab kementeriannya merangkumi pelbagai usaha dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan infrastruktur, menaik taraf kemudahan awam serta menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.
Walau bagaimanapun Kor Ming berkata, sesebuah bandar tidak dapat berkembang secara mampan sekiranya ia hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata.

“Tanpa seni, budaya dan hubungan sesama manusia, walaupun bandar yang paling moden berisiko kehilangan jiwanya.
“Kita boleh membina bangunan pencakar langit bertaraf dunia, tetapi jika penduduk yang tinggal di dalamnya tidak dapat menikmati kebahagiaan dan rasa kebersamaan, maka kita sebenarnya belum mencapai kejayaan yang sebenar,” katanya lagi.
Terdahulu Kor Ming meluangkan masa kira-kira dua jam menyaksikan persembahan muzik orkestra yang terdiri daripada pemuzik dari KVSO, Fakulti Muzik Universiti Silpakorn Thailand, FEROCI Philharmonic Thailand serta Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL).
Bertemakan ‘Irama Persahabatan dan Perpaduan dalam Harmoni’, sebanyak 14 karya muzik dipersembahkan yang meliputi karya-karya klasik Barat, Thailand, lagu tradisional serta muzik dari petikan filem dan anime. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


