PRN Johor: DAP berhasrat tanding 17 kerusi, rundingan hampir selesai

IPOH – DAP Johor berhasrat untuk bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, berbanding 14 kerusi yang ditandingi parti itu pada PRN 2022.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, bagaimanapun jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada parti itu masih tertakluk kepada keputusan rundingan kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang masih belum dimuktamadkan.

“Setakat ini DAP berhasrat untuk bertanding di 17 kerusi, tetapi semua rundingan kerusi ini hampir selesai. Namun sebelum dokumen ditandatangani, semuanya belum muktamad.

“Jadi saya hanya boleh cakap DAP berhasrat bertanding di 17 kerusi dan kerja-kerja persediaan kita juga tertumpu kepada kerusi-kerusi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti MADANI Negeri Perak yang diadakan secara tertutup di Hotel MH Ipoh, pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, proses rundingan kerusi juga dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat memandangkan hanya sebilangan kecil kerusi masih belum mencapai kata putus.

“Semalam kami mengadakan perbincangan di Batu Pahat sebelum Majlis Pelancaran Jentera PH Johor dan pada pandangan saya hanya satu atau dua kerusi yang belum dimuktamadkan.

“Oleh itu, saya percaya rundingan kerusi akan diselesaikan dengan sangat cepat dan mungkin dalam tempoh seminggu atau lebih awal kerana itu juga hasrat semua pemimpin,” katanya lagi.

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, pemilihan kerusi yang akan ditandingi DAP juga mengambil kira beberapa faktor termasuk kekuatan jentera parti, calon serta peluang kemenangan di sesuatu kawasan.

Ujar beliau, keseimbangan pengagihan kerusi dalam kalangan parti yang gabungan PH turut menjadi antara pertimbangan utama dalam proses rundingan tersebut.

“Mestilah kerusi-kerusi yang disasarkan ini adalah kerusi yang mana kita rasakan mempunyai kekuatan yang lebih dan juga faktor jentera serta calon.

“Dalam rundingan kerusi, perkara yang sering dibangkitkan ialah kekuatan jentera di sesuatu kawasan dan siapa calon yang mempunyai peluang kemenangan lebih tinggi. Semua itu diambil kira,” jelasnya.

Mengulas berkenaan senarai calon yang bakal diketengahkan, Nie Ching memaklumkan DAP akan menampilkan mereka daripada pelbagai latar belakang termasuk calin muka baharu, golongan muda dan wanita pada PRN Johor nanti.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan peratusan calon bagi setiap kategori kerana senarai berkenaan masih belum dimuktamadkan dan memerlukan kelulusan jawatankuasa pusat parti

“Saya tidak boleh cakap berapa peratus kerana senarai calon itu perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Lima Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang akan membuat memuktamadkan keputusan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai berkenaan calin bagi kerusi DUN Skudai susulan spekulasi mengenai pengganti penyandang sedia ada, beliau berkata senarai calon kerusi berkenaan juga akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Pada PRN yang berlangsung pada Mac 2022, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, DAP menduduki 10 kerusi DUN iaitu Jementah, Tangkak, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai.

Sementara itu, parti komponen PH lain, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara MUDA memperoleh satu kerusi.

Keputusan PRN itu juga menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri di Johor selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pada 1 Jun lalu, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor sebagai memberi laluan kepada PRN. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PRN Johor: MIC tidak kejar kerusi tambahan, mahu pastikan BN menang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI