KDN gerak operasi khas buru warga asing jalankan perniagaan haram

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini menggerakkan operasi khas menerusi agensi-agensi di bawahnya bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing yang menyalahgunakan pas sosial untuk berniaga di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu penguatkuasaan lebih tegas diambil terhadap aktiviti berkenaan selepas menerima pelbagai aduan daripada masyarakat.

Menurut beliau, agensi penguat kuasa di bawah KDN termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan meningkatkan operasi bagi mengekang sepenuhnya kegiatan warga asing yang melanggar syarat kemasukan ke negara ini.

“Perdana Menteri sendiri menerima aduan. Jadi agensi berkenaan telah diminta untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan kita akan melihat kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar mengarahkan pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan menyeluruh terhadap aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing termasuk penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

Saifuddin berkata, KDN mempunyai kepakaran serta mekanisme tertentu untuk mengesan keberadaan warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

“Kita telah mengenal pasti beberapa hotspot yang dipetakan berdasarkan kehadiran warga asing yang masuk tanpa dokumen, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan pas yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan tersebut turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga tempatan kerana warga asing terbabit menawarkan perkhidmatan pada harga yang jauh lebih rendah tanpa menanggung kos pematuhan seperti cukai dan lesen.

“Mereka masuk menggunakan pas sosial tetapi menjalankan aktiviti perniagaan. Ini menjadi rungutan warga tempatan kerana berlaku persaingan tidak sihat.

“Ketika warga tempatan membayar cukai, mereka tidak berbuat demikian dan menawarkan harga yang jauh lebih murah. Ada yang masuk sebagai juruhias dalaman tetapi akhirnya mengambil tempahan perabot dan menjalankan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KDN mempunyai pengalaman menangani isu penyalahgunaan pas sosial untuk bekerja dan berniaga, khususnya di Sabah.

Menurutnya, beberapa operasi bersepadu telah dilaksanakan di kawasan Pantai Timur Sabah menerusi kerjasama pelbagai agensi yang diketuai Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

“Kita mengesan resort yang diusahakan warga asing yang masuk bukan menggunakan pas perniagaan tetapi menjalankan aktiviti perniagaan.

“Justeru, operasi pelbagai agensi telah dilaksanakan di Pantai Timur Sabah dan sepanjang tahun lalu, sebanyak tiga tindakan penguatkuasaan telah dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI