39 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah ditahan JPJ Perak

GERIK – Seramai 153 pemandu kenderaan telah disaring sepanjang Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Julai lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 39 pemandu di dapati positif pelbagai jenis dadah antaranya methamphetamine, morfin, ketum dan ganja.

Beliau berkata, kesemua individu yang didapati positif dadah merupakan seorang pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan 38 pemandu kenderaan barangan.

“Pemandu yang ditahan mengikut pecahan jenis dadah adalah seramai 18 orang positif ketum; 16 methamphetamine, tiga morfin dan dua ganja.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan ketika sidang media pada Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JULAI 2026.

“Lokasi paling tinggi merekodkan pemandu positif dadah yang ditahan adalah Stesen Penguatkuasa Gerik iaitu seramai 11 orang, diikuti lapan di Taiping dan masing-masing tujuh orang di Seri Manjung dan Tapah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan oleh JPJ Perak di Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik, di sini, pada Rabu.

Tambah Mohammad Yusoff, JPJ Negeri Perak turut menahan 14 Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan 13 Lesen Memandu Barangan (GDL) melibatkan 39 individu yang didapati positif berkenaan

Beliau berkata, bagi pemandu yang didapati positif saringan dadah, tindakan susulan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa di mana Lesen Vokasional (GDL/PSV) akan ditahan sehingga siasatan oleh ADDK selesai dan lesen akan digantung selama tempoh tiga bulan mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan ketika sidang media pada Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JULAI 2026.

“Sekiranya, pemandu disabitkan kesalahan atau ditempatkan di pusat pemulihan, tindakan pengantungan Lesen Vokasional akan dilaksanakan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

“Selain tindakan terhadap pemandu, JPJ Negeri Perak turut akan mengambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandunya mematuhi syarat pelesenan dan bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Mengulas mengenai Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan, Mohammad Yusof berkata, pelaksanaan operasi ini memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan pelancongan di lokasi-lokasi strategik seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Terminal Bas serta lokasi-lokasi yang dikenal pasti berdasarkan analisis risiko dan maklumat risikan.

Operasi ini turut memperlihatkan kerjasama strategik antara JPJ Negeri Perak dengan pelbagai agensi penguatkuasaan yang berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), MOTAC, APAD dan PUSPAKOM bagi memastikan tindakan yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan terhadap mana-mana pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI