TANJUNG MALIM – Seorang kerani menjadi mangsa penipuan apabila wang berjumlah RM970,000 lesap selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pengurus syarikatnya serta mengarahkannya melakukan beberapa transaksi pemindahan wang kononnya bagi urusan syarikat.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp yang disangkanya dihantar oleh pengurus syarikat sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi kewangan bagi tujuan urusan syarikat.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah menggodam serta mengambil alih komunikasi telefon bimbit pengurus syarikat sebelum menghubungi mangsa dan memberikan arahan untuk membuat pemindahan wang.
“Mangsa kemudian melakukan tiga transaksi pemindahan wang secara berasingan berjumlah RM970,000 ke dalam dua akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek terus meminta mangsa membuat transaksi tambahan menyebabkan mangsa mula berasa curiga.
“Mangsa kemudian menghubungi pengurus syarikat sebenar dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang arahan pernah dikeluarkan untuk melakukan transaksi berkenaan.
“Selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa segera membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap arahan pemindahan wang yang diterima menerusi aplikasi pesanan, khususnya jika melibatkan jumlah yang besar.
“Sekiranya menyedari telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai perlu segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk meningkatkan peluang pembekuan dana yang telah dipindahkan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita warga emas ditipu, serah barang kemas demi bantuan RM2,000


