Wanita warga emas ditipu, serah barang kemas demi bantuan RM2,000

IPOH – Seorang wanita warga emas menjadi mangsa sindiket penipuan selepas terpedaya dengan tawaran bantuan kebajikan RM2,000 sebulan sehingga sanggup menyerahkan barang kemas yang dipakainya dalam kejadian di sebuah hospital di Teluk Intan Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, ketika kejadian mangsa berusia 67 tahun itu sedang menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum didatangi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pekerja kebajikan.

Menurutnya, suspek kemudian menawarkan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM2,000 sebulan dan memaklumkan kononnya barang kemas yang dipakai mangsa diperlukan bagi tujuan memproses permohonan bantuan tersebut.

“Tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa menyerahkan semua barang kemas yang dipakai, iaitu dua utas rantai leher emas, sepasang subang emas berserta rantai pendek serta tiga bentuk cincin emas.

“Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila suspek tidak kembali menemuinya seperti dijanjikan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM8,000 sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak berjaya mengesan suspek di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor pada 3 Julai lalu, sekitar jam 4.10 petang.

Katanya, polis telah menahan tiga individu terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun yang mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai ibu dan dua orang anak.

“Selain merampas pakaian yang digunakan suspek ketika memperdayakan mangsa, polis turut berjaya mendapatkan semula barang kemas milik mangsa yang telah dijual oleh anak suspek di sebuah kedai pajak gadai di Teluk Intan.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 4 hingga 7 Julai bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali yang menawarkan bantuan kebajikan dengan meminta barang kemas atau bayaran wang tunai sebagai syarat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penipuan seumpama ini diminta menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis tahan tiga individu, tumpas sindiket bekal telefon bimbit, kad sim pada ‘scammer’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI