KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan reformasi terhadap sistem pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), termasuk memansuhkan caj ejen kutipan hutang sebanyak 15 peratus yang didakwa terus membebankan peminjam.
Timbalan Bendahari Wanita Keadilan Pusat, Karen Kasturi berkata, langkah itu wajar diberi perhatian segera selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan membincangkan cadangan berkaitan masa depan PTPTN.
Menurut beliau, perbincangan mengenai reformasi PTPTN merupakan langkah penting bagi memastikan sistem pembiayaan pendidikan tinggi negara kekal mampan, adil dan responsif terhadap keperluan generasi akan datang.
Namun pada masa sama nasib ribuan peminjam sedia ada tidak boleh diabaikan.
Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima, ramai peminjam khususnya golongan muda bukan enggan membayar balik pinjaman, sebaliknya berdepan kekangan kewangan selain mekanisme kutipan yang disifatkan semakin menambah beban mereka.
“Antara isu paling mendesak ialah apabila akaun peminjam lama diserahkan kepada syarikat pemungut hutang. Terdapat peminjam yang dikehendaki membuat bayaran sekaligus sehingga 50 peratus daripada jumlah tertunggak, di samping dikenakan caj ejen kutipan hutang sekitar 15 peratus.
“Caj tambahan ini memberi tekanan kewangan tidak wajar kepada peminjam yang sememangnya sedang bergelut, malah menjadi penghalang kepada mereka yang benar-benar mempunyai niat untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Karen turut membangkitkan kekeliruan dalam proses penstrukturan semula pembayaran apabila peminjam menerima makluman rasmi daripada PTPTN supaya menghubungi agensi itu bagi tujuan berkenaan.
Tetapi kemudian diarahkan pula berurusan dengan syarikat pemungut hutang tanpa penjelasan yang jelas atau pilihan untuk berunding secara terus dengan PTPTN.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan peminjam yang sebenarnya bersedia dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan komitmen mereka.
Beliau berkata, Kerajaan Madani yang menjunjung prinsip ihsan, keadilan sosial dan reformasi perlu memastikan pendekatan kutipan balik pinjaman pendidikan bukan hanya berfokus kepada kutipan hutang, sebaliknya mengambil kira kemampuan sebenar rakyat.
Sehubungan itu, Karen menggesa kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi mempertimbangkan lima langkah segera iaitu memansuhkan caj ejen kutipan hutang 15 peratus.
Selain membenarkan rundingan serta penstrukturan semula dibuat secara terus dengan PTPTN tanpa melalui syarikat pemungut hutang, selain menubuhkan pusat rundingan semula atau one-stop centre yang lebih telus dan mudah diakses.
Beliau turut mencadangkan supaya mekanisme pembayaran balik dikaji semula dengan menyediakan pilihan penstrukturan yang lebih fleksibel serta bantuan bersasar kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40.
Juga memastikan penggunaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pembayaran balik pinjaman tidak terhakis akibat caj perantara yang disifatkan tidak munasabah.
Karen berkata, peminjam PTPTN tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penghutang sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang pernah diberikan peluang melanjutkan pengajian tinggi dan kini sedang berusaha membina semula kestabilan kewangan mereka.
“Jika kerajaan benar-benar komited terhadap reformasi PTPTN, reformasi tersebut perlu bermula dengan mendengar suara peminjam sedia ada dan memperbaiki kelemahan dalam sistem pembayaran balik yang sedang berjalan,” tegasnya. -MalaysiaGazette


