IPOH – Negara tidak lagi berdepan ancaman penjajahan dalam bentuk tradisional, sebaliknya sedang menghadapi cabaran baharu termasuk persaingan ekonomi yang semakin sengit serta perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam situasi tersebut, kekuatan negara bergantung kepada kesediaan rakyat untuk terus hidup dalam semangat saling menghormati, mempercayai dan mempertahankan antara satu sama lain.
“Kita berdepan cabaran yang berbeza iaitu persaingan ekonomi yang semakin sengit, iklim ekonomi yang tidak menentu, kepantasan perubahan teknologi serta lambakan maklumat yang bergerak tanpa sempadan.
“(Justeru) Negara boleh dibina dengan pembangunan dan pelaburan, tetapi hanya dapat dipertahankan melalui perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Ipoh, pada Ahad.
Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mengulas lanjut Saarani berkata, masyarakat juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial supaya platform itu tidak menjadi medan penyebaran fitnah, penghinaan dan sentimen yang boleh memecahbelahkan rakyat.
Oleh itu kata beliau, bendera Jalur Gemilang kekal menjadi simbol yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang kerana ia melambangkan perjuangan, pengorbanan serta kesepakatan generasi terdahulu dalam membina negara.
“Kita mungkin berbeza bahasa di rumah, berbeza budaya dan berbeza cara beribadah, tetapi apabila Jalur Gemilang dinaikkan, kita berdiri dengan rasa bangga yang sama sebagai rakyat Malaysia.
“Mengibarkannya adalah tanda kecintaan kepada negara. Lebih penting, semangat patriotisme itu perlu diterjemahkan melalui cara kita bekerja, melaksanakan amanah, mematuhi undang-undang, menjaga keharmonian dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.
Tambah Saarani, menjadi tanggungjawab generasi masa kini bukan sekadar mewarisi kemerdekaan, sebaliknya memastikan negara terus aman, bersatu dan kekal menjadi tempat yang selamat untuk didiami oleh generasi akan datang.
“Tanggungjawab generasi kita bukan hanya mewarisi kemerdekaan, tetapi memastikan negara ini terus aman, terus bersatu dan terus menjadi tempat yang baik untuk didiami oleh anak-anak serta cucu-cucu kita pada masa hadapan.
“Mudah-mudahan apabila tiba suatu hari nanti, generasi yang datang selepas kita juga akan dapat mensyukuri keamanan, keharmonian dan kestabilan yang berjaya kita pelihara bersama. Kepada saya, itulah makna sebenar mengisi kemerdekaan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jangan biar pihak tertentu pecah belah perpaduan rakyat – PM


