Jangan biar pihak tertentu pecah belah perpaduan rakyat – PM

IPOH – Semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama merupakan asas utama yang membolehkan Malaysia mencapai kemerdekaan serta terus menikmati kestabilan serta kemajuan sehingga hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejarah membuktikan kemerdekaan serta pembangunan negara tidak hanya digerakkan sebagai satu kaum sahaja sebaliknya ia turut disokong dengan penyertaan suku kaum lain.

“Apakah kita boleh mencapai kemerdekaan tanpa semangat kebangsaan Melayu dan kekuatan orang Melayu sebagai induk? Itu pangkal (perkara asas) yang mesti diterima semua pihak. Namun, apakah mungkin kemerdekaan itu dicapai kalau tidak bersama kaum Cina, India, Dayak, Kadazan dan kaum-kaum lain? Jawapannya tidak.

“Oleh itu semua harus tahu, jika mahu memberi makna kepada kemerdekaan dan menjayakan negara ini, kekuatan Melayu harus ada dan kekuatan Melayu bersama Cina, India, Dayak serta Kadazan juga harus ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Ipoh, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan dan lebih enam dekad pembentukan Malaysia, rakyat sepatutnya lebih menumpukan usaha meningkatkan taraf hidup serta memajukan negara berbanding terus memperdebatkan perbezaan kaum.

Kata beliau, hakikat kepelbagaian masyarakat di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.

Justeru itu tegas Perdana Menteri, rakyat seharusnya tidak membiarkan mana-mana pihak mahu memecah-belahkan perpaduan yang sekian lama menjadi tunjang kepada pembentukan dan pembinaan negara.

“Jangan izinkan orang memperkotak-katikkan dan memecah-belahkan kita kerana negara ini merdeka dengan kekuatan bersama semua rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan dan lebih enam dekad pembentukan Malaysia, rakyat sepatutnya lebih menumpukan usaha meningkatkan taraf hidup serta memajukan negara berbanding terus memperdebatkan perbezaan kaum.

Katanya, hakikat kepelbagaian masyarakat di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Mengapa generasi sekarang ada yang terfikir mesti berpecah ataupun terpengaruh dengan sentimen dan hasutan kelompok politik mana-mana yang tidak mahu berfikir secara bersekutu. Kamu ini dari wilayah mana dan mahu merdeka di mana? Kalau mahu merdeka, mesti faham maksud ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.

“Apabila kita bersemangat begitu, sudah merdeka Tanah Melayu hampir 70 tahun dan 60 tahun bersama Sabah dan Sarawak bersama dalam Malaysia tetapi tidak habis-habis (timbulkan isu) bukan bicara bagaimana mengangkat martabat, harakat, dan darjat rakyat serta negara, (sebaliknya) kita sibuk bicara soal warna kulit, mata dan hidung,” katanya.

Anwar turut mengingatkan moto ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ pada Jata Negara yang diperkenalkan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman masih relevan sebagai pedoman dalam memperkukuh perpaduan negara.

Kata beliau, moto berkenaan dipilih kerana para pengasas negara memahami bahawa Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama, budaya dan wilayah yang perlu disatukan demi mencapai kemajuan bersama.

Anwar berkata, semangat perpaduan yang ditekankan bukan sekadar mengajak rakyat bersatu, sebaliknya bersatu untuk tujuan yang membawa manfaat kepada negara dan masyarakat.

“Macam filem Ali Baba Bujang Lapok, (watak) 40 penyamun pun bersatu tetapi kita bersatu bukan untuk merompak atau mencuri balak dan harta negara, sebaliknya bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat serta memajukan Malaysia,” katanya.

Justeru Perdana Menteri berkata, penyatuan rakyat bukan sekadar slogan, sebaliknya ia perlu diterjemahkan melalui usaha meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat serta membangunkan negara.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, kita mahu negara ini menjadi sebuah negara hebat yang berjaya dalam bidang semikonduktor, pengkomputeran kuantum dan kecerdasan buatan (AI). Saya percaya Malaysia mampu diangkat sebagai sebuah negara yang hebat jika rakyat terus bersatu dan bergerak ke hadapan bersama,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Keupayaan Malaysia kekalkan perpaduan tanda kematangan negara – PM Anwar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI