Sekolah Parlimen, PLKN didik generasi muda jadi pemimpin masa depan

IPOH – Program Sekolah Parlimen dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara inisiatif yang dilaksanakan dalam melahirkan generasi muda yang berwawasan sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin masa depan negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, Sekolah Parlimen diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi institusi Parlimen yang secara tidak langsung membina minat mereka terhadap kepimpinan dan tadbir urus negara.

Menurutnya, peserta Sekolah Parlimen yang menunjukkan potensi kepimpinan turut diberi peluang mengikuti program lanjutan, namun pemilihan dibuat melalui proses yang teliti.

“Kita mengajar, memberikan inspirasi kepada anak-anak muda untuk melihat apakah itu Parlimen  dan berharap mereka dapat membuka minda mereka setelah mendengar perbahasan.

“Selepas itu kita akan memilih mereka yang layak untuk memimpin kita, tetapi mesti melalui proses yang bukan mudah kerana akhirnya yang menjayakan mereka itu adalah mereka sendiri.

“Usaha mereka dan pendedahan ini penting untuk memberikan kematangan untuk mereka menjadi pemimpin masa depan dan itu yang sedang kita lakukan menerusi program-program yang dijalankan dalam Parlimen sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjadi panel Forum ‘Tadbir Urus Baik dan Kestabilan Politik’ sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan program itu, Johari berkata, hampir 2,000 pelajar daripada lebih 1,000 sekolah telah menyertainya dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar.

Sekolah Parlimen, PLKN didik generasi muda jadi pemimpin masa depan
Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul ketika sidang media pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2026.

“Kita berikan prioriti kepada sekolah-sekolah luar bandar kerana andaian kita dan juga mempunyai data bahawa kalau secara sukarela, sekolah-sekolah ini tidak akan mampu menghantar anak-anak ini ke Parlimen.

“Tapi sekarang ini kos program tersebut kita tanggung supaya mereka dapat datang dan melawat ke Parlimen dan sekali gus berjumpa dengan pemimpin-pemimpin di Parlimen sama ada pemimpin kerajaan ataupun pembangkang.

“Saya secara peribadi juga akan kan berjumpa setiap kumpulan, setiap dua kali seminggu dan selama ini lebih 1,000 sekolah yang telah pun hadir ke program kita,” jelasnya.

Katanya, selain itu, PLKN turut diadakan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi membuat persiapan untuk membentuk anak-anak muda sebagai pemimpin masa depan.

“Sebagai pemimpin, mereka perlu mengenali realiti rakyat dan kehidupan di Malaysia melalui penyertaan dalam satu kem selama 45 hari yang menghimpunkan semua anak muda untuk berkongsi kegembiraan dan cabaran hidup bersama,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan badan kehakiman telah dimantapkan menerusi penguatkuasaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869).

“Akta itu kita wujudkan semula dan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, telah pun mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong. Maknanya, akta itu telah pun wujud, cuma sekarang ini untuk dilaksanakan dan mungkin akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Jadi maknanya eksekutif, legislatif dan judisiari memang terpisah dan ini ialah di antara kejayaan reformasi yang dilakukan oleh kerajaan sekarang,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

IPT diseru bentuk generasi berintegriti demi masa depan negara – Johari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI