LENGGONG – UMNO Perak menggariskan lima fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh seluruh jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk memperkukuhkan organisasi dan menguasai medan digital.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada kepimpinan, calon atau perancangan yang baik, sebaliknya memerlukan jentera yang benar-benar berfungsi di semua peringkat.
Menurutnya, kajian badan penyelidik, Ilham Centre menunjukkan faktor calon menjadi penentu terbesar pilihan pengundi dengan 35 peratus, diikuti isu semasa (30 peratus), jenama parti (20 peratus) dan kekuatan jentera parti (15 peratus).
“Ini bermakna jika kita ada calon yang baik, ada parti yang baik dan ada isu yang baik, tetapi kalau jentera tidak bergerak, kita tidak boleh menang dengan selesa.
“Enjin UMNO ialah cawangan-cawangan kita, pusat daerah mengundi, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang sentiasa berada di tengah-tengah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong Tahun di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Saarani berkata, ahli parti juga tidak boleh terlalu selesa dengan jumlah keahlian semata-mata kerana kemenangan ditentukan oleh kesungguhan ahli yang sanggup turun bekerja serta mendapatkan sokongan pengundi di luar kelompok ahli UMNO di lapangan.
Selain memperkukuh jentera, beliau yang juga Menteri Besar Perak menegaskan kepentingan setiap bahagian parti untuk mengenali profil pengundi di kawasan masing-masing supaya segala gerak kerja dapat dirancang berdasarkan data yang tepat.
Jelas beliau, jentera parti perlu mengenal pasti setiap kategori pengundi termasuk pengundi muda yang akan mengundi buat kali pertama, pengundi luar, penyokong parti, pengundi atas pagar dan sebagainya.

“Jangan kita bergerak atas sangkaan atau andaian semata-mata. Jentera kita mesti bergerak dengan maklumat yang tepat.
“Ia supaya sebaik sahaja wisel pilihan raya dibunyikan, mudah untuk kita menyusun gerak kerja,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya hubungan jentera parti dengan pengundi di kawasan dipelihara sepanjang masa dan tidak hanya menyantuni mereka ketika musim pilihan raya semata-mata.
Pada masa sama, Saarani menekankan bahawa kejayaan dalam pilihan raya hanya dapat dicapai sekiranya seluruh kepimpinan dan ahli bergerak sebagai satu pasukan dengan setiap cawangan memainkan peranan masing-masing.
“Pilihan raya tidak dimenangi oleh seorang dua pemimpin. Pilihan raya dimenangi apabila seluruh jentera menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Kita menang apabila setiap cawangan hidup. Kita menang apabila setiap Ahli Jawatankuasa memainkan peranan,” ujarnya.
Selain itu beliau berkata, satu lagi aspek yang tidak boleh dipandang ringan ialah penguasaan medan digital memandangkan media sosial kini menjadi platform utama yang membentuk persepsi serta mempengaruhi keputusan pengundi.
Tambah Saarani, landskap politik ketika ini memperlihatkan semakin ramai rakyat mengikuti ceramah dan mendapatkan maklumat berkaitan isu politik menerusi telefon pintar berbanding menghadiri program secara fizikal.
“Kalau kita mengosongkan medan ini, jangan harap orang lain akan mempertahankan parti bagi pihak kita. Medan yang kita tinggalkan pasti akan diisi oleh orang lain.
“Apabila mereka menguasai naratif, mereka akan mempengaruhi pengundi. Pada waktu itu, kita mungkin bekerja kuat di lapangan, tetapi akhirnya tewas dalam peperangan persepsi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UMNO raih hampir 14,000 ahli baharu dalam talian sejak 22 April


