MANJUNG – Seorang anggota polis berpangkat konstabel maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas melanggar tiang Telekom ketika mengelak haiwan melintas di Jalan Kampung Cina – Pantai Remis di sini, petang Isnin.
Insiden itu berlaku ketika mangsa, Konstabel Muhammad Irman Hilmi, 27, yang menunggang motosikal jenis Honda RS sedang menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan anggota polis dari Balai Polis Pantai Remis itu sekitar jam 2.35 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pantai Remis menghala ke Kampung Cina.
“Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan semasa mengelak binatang lalu terbabas melanggar tiang Telekom di tepi jalan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada Unit Forensik untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Wan Amiratul Syuhada Wan Zureimy di talian 011-1690 670. – MG Perak
Artikel Berkaitan: