IPOH – Keluarga dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditemui mau di sebuah bangunan kosong di Buntong, di sini, Jumaat lalu dilaporkan dalam keadaan stabil biarpun masih berdepan kesedihan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkara berkenaan dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah menyantuni keluarga terlibat.
Katanya, hasil pemantauan mendapati keluarga mangsa dapat menguruskan keadaan dengan baik tanpa keperluan segera untuk sesi kaunseling.
“Mana-mana keluarga pun tidak mudah menerima kehilangan secara mengejut, namun hasil tindakan JKM yang turun menyantuni keluarga, kita melihat mereka dalam keadaan yang terkawal.
“Setakat ini tidak ada keperluan untuk sesi kaunseling kerana mereka dilihat mampu mengawal emosi dan keadaan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Perak 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Dr Faridah Awang.
Salbiah menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, termasuk memperluas program advokasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Kita akan tingkatkan program-program advokasi supaya masyarakat lebih cakna. Jika ada jiran atau individu yang dilihat mencurigakan, laporkan kepada pihak berkuasa.
“pendekatan iNI penting bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap persekitaran serta berani melaporkan sebarang situasi mencurigakan,” katanya.
Media melaporkan pada Jumaat minggu lalu, dua pelajar perempuan berumur 14 tahun ditemukan maut di kawasan perumahan kosong di sebuah flat di Sungai Pari, Buntong di sini.
Mayat dua pelajar sebuah sekolah menengah, di sini ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan ketika melakukan rondaan di kawasan flat berkenaan. -MG Perak


