IPOH – Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM12.3 juta kepada 123 sekolah di seluruh Perak bagi melaksanakan program Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah di bawah inisiatif reformasi sekolah.
Timbalan Pengarah di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Salmah Abd Murad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 60 sekolah menengah dan 63 sekolah rendah di seluruh negeri dipilih menerima untuk peruntukan sebanyak RM100,000 setiap satu.
Katanya, inisiatif berkenaan melibatkan kira-kira 1,500 sekolah di seluruh negara menerusi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang memberi tumpuan antaranya memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran, serta sekolah.

“Sekolah-sekolah yang menerima peruntukan ini akan menyediakan program-program yang bersifat kemenjadian murid yang membantu meningkatkan lagi prestasi mereka, khususnya melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
“Selain itu, sekolah juga boleh melaksanakan program untuk meningkatkan pembangunan insaniah warga sekolah termasuk memperkukuh profesionalisme guru. Kerjasama pihak sekolah amat penting bagi merangka program yang berimpak tinggi serta kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah di Bawah Reformasi di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Salmah berkata, pelaksanaan program Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah bermula secara serta-merta dan peruntukan berkenaan dijangka disalurkan kepada semua sekolah terlibat bermula bulan ini.
Kata beliau, peruntukan tersebut juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam tahun ini juga bagi memastikan semua program yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Program seumpama ini sebenarnya telah pun dilaksanakan oleh sekolah sebelum ini, namun dengan sokongan peruntukan yang disediakan, mereka boleh melaksanakan program pada skala lebih besar dan berimpak tinggi.
“Misalnya, pihak sekolah boleh mewujudkan persekitaran bilik darjah dan kawasan sekolah yang lebih menarik serta ceria bagi menggalakkan kehadiran dan meningkatkan minat murid untuk belajar,” ujarnya.
Mengulas tentang pemilihan sekolah, beliau berkata, ia dibuat berdasarkan penarafan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Kualiti@Sekolah (SK@S) yang mengklasifikasikan sekolah berkenaan sebagai Sekolah Inspirasi.
Menurut Salmah, senarai sekolah dipilih melalui penilaian yang dibuat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan semua sekolah penerima dapat memanfaatkan kepakaran sekolah lain termasuk Guru Cemerlang bagi memperkukuh pelaksanaan program termasuk melalui perkongsian ilmu.
Beliau berkata, pendekatan kerjasama itu mampu membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah masing-masing serta memperkukuh keberkesanan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Harapan kementerian adalah program Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah ini dapat membantu meningkatkan motivasi sekolah yang terlibat untuk menjadi lebih cemerlang.
“Daripada status Sekolah Inspirasi, mereka diharapkan terus meningkatkan pencapaian akademik serta membawa perubahan positif kepada proses pembelajaran,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sekolah Parlimen, PLKN didik generasi muda jadi pemimpin masa depan


