IPOH – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perak menyalurkan lebih RM2 juta peruntukan dalam bentuk pembiayaan dan kemudahan keusahawanan kepada kira-kira 30 pengusaha pelancongan Bumiputera di negeri ini hingga kini.
Pengarahnya, Yuhaniz Mohamad Padil berkata, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM20 juta yang disediakan bagi membantu usahawan dalam pelbagai sektor pada tahun ini.
“Untuk usahawan sektor pelancongan sahaja, lebih RM2 juta sudah MARA salurkan setakat ini. Dan secara keseluruhan, peruntukan pembiayaan untuk semua sektor kepada usahawan Bumiputera di negeri Perak adalah sebanyak RM20 juta tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Konferens Pengusaha Pelancongan Negeri Perak 2026, di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Rabu.

Persidangan yang melibatkan kira-kira 200 pengusaha industri pelancongan Bumiputera itu dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Mengulas lanjut Yuhaniz berkata, kemudahan MARA kepada usahawan terlibat turut merangkumi bantuan geran serta latihan dan kursus, manakala pembiayaan umum yang ditawarkan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000.

Di samping itu beliau berkata, MARA Perak turut melaksanakan Pelan Transformasi Usahawan Pelancongan Perak yang memberi tumpuan kepada pendigitalan operasi dan peningkatan skala perniagaan bagi sektor berkenaan.
“Pelan transformasi yang dirangka ini lebih kepada kursus pendigitalan, iaitu membantu usahawan yang masih menggunakan operasi secara manual beralih kepada sistem pendigitalan.
“Dan dari segi penskalaan pula, kita mahu membantu pengusaha mikro ini agar dapat meningkatkan perniagaan mereka ke peringkat sederhana,” katanya.

Pada masa sama, Yuhaniz berkata, MARA Perak turut merancang memperluas peluang promosi produk pelancongan tempatan menerusi Program Pembangunan Usahawan Resort (PURE).
Ujar beliau, ia termasuk membawa para pengusaha berkaitan untuk menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair).
“Di bawah usaha ini ia memberi peluang kepada kita untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan pelancongan usahawan di bawah MARA Perak ke platform seperti MATTA Fair.
“Dan beberapa pengusaha pelancongan Perak sebelum ini juga sudah kita bawa untuk menyertai pameran berkenaan, Gopeng Glamping Park dan Kuak Hill Resort Lenggong,” ujarnya.

Mengulas tentang penganjuran persidangan, Yuhaniz berkata, program itu menjadi platform menghimpunkan para pengusaha pelancongan negeri bagi meningkatkan kesedaran terhadap kemudahan keusahawanan yang ditawarkan MARA.
Menurut beliau penganjuran tersebut turut melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perak, Tourism Perak, Tourism Malaysia serta pemain industri lain.
“Kita mahu mewujudkan komuniti dalam kalangan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan dengan industri pelancongan menerusi Pelan Transformasi Usahawan Pelancongan Perak.
“MARA negeri bersama agensi berkaitan dan kerajaan negeri akan membantu memenuhi keperluan sebenar para usahawan pelancongan, termasuk promosi, kursus pengurusan operasi, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan serta pensijilan halal,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Luqman Irfan rintis pelancongan rekreasi desa


