KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal & Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) memandang serius laporan mengenai penahanan tujuh individu, termasuk empat penjawat awam berkaitan dakwaan rasuah bagi membolehkan penghantaran ayam beku yang diimport secara tidak sah melepasi pemeriksaan di sebuah pelabuhan di Sabah.
Rampasan 10 kontena ayam beku dari China dan Poland serta dakwaan penggunaan pengisytiharan palsu dan kegagalan menjalani pemeriksaan sewajarnya menunjukkan wujudnya kelemahan yang perlu diberi perhatian serius dalam rantaian bekalan makanan.
Bagi MEH, isu itu bukan semata-mata soal penyeludupan atau rasuah kerana ia menyentuh secara langsung keterjaminan makanan, integriti rantaian halal dan hak pengguna Muslim untuk mendapatkan makanan yang benar-benar terjamin status halalnya.
“Jika ayam yang tidak memenuhi keperluan import, pemeriksaan veterinar dan keperluan halal berjaya memasuki pasaran, persoalan yang lebih besar ialah berapa banyak produk yang diragui statusnya telah sampai ke pasaran pengguna sebelum dapat dikesan?” soal MEH dalam kenyataan.
MEH menegaskan, ayam yang tidak disahkan atau tidak memenuhi keperluan halal tidak boleh dianggap halal hanya kerana ia dijual dalam pasaran yang majoritinya pengguna Muslim.
Lebih membimbangkan ialah kemungkinan produk tersebut bercampur dalam rantaian pengedaran biasa dan akhirnya sampai kepada restoran, pasar, pemborong serta pengguna tanpa pengetahuan mereka.
Sehubungan itu, MEH menggesa kerajaan memperkukuhkan Halal Food Security negara melalui pengesanan dan pemantauan dari pintu masuk negara sehingga ke pengguna.
Selain itu, penyelarasan lebih ketat antara agensi halal, veterinar, kastam, penguat kuasa dan pihak berkuasa Pelabuhan dan pendigitalan dan kebolehkesanan (traceability) setiap penghantaran ayam dan produk makanan berisiko tinggi.
“Audit serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap pengimport, ejen penghantaran, pemborong dan pengedar yang memalsukan deklarasi atau memintas pemeriksaan.
“Penyiasatan menyeluruh terhadap kemungkinan produk yang tidak memenuhi keperluan halal telah memasuki rantaian pasaran umat Islam,” katanya dalam kenyataan yang sama.
MEH juga berpandangan Malaysia tidak seharusnya hanya bertindak selepas berlaku rampasan atau pendedahan sindiket.
“Kita memerlukan satu ekosistem keterjaminan makanan halal bersepadu yang mampu memastikan ayam dan makanan asas umat Islam bukan sahaja murah dan mencukupi, tetapi halal, selamat, bersih, boleh dijejaki dan diyakini.
“Isu ini juga menguatkan keperluan untuk mempercepatkan agenda Halal Food Security Roadmap Malaysia dan memperkukuhkan pengeluaran ayam halal domestik melalui penglibatan lebih besar usahawan serta institusi ekonomi umat,” katanya. – MalaysiaGazette


