KUALA KANGSAR – Seorang bekas penolong pegawai kesihatan bersama rakannya masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam pada Julai lalu.
Hukuman itu diputuskan Majistret, Azlin Zeti Zainal Abidin terhadap Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, selepas menerima pengakuan dan mensabitkan mereka seperti pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah melakukan pemerasan ke atas Mohamad Pandak, 59, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM2,000.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah chalet di Kampung Kenang Baru Jalong Tinggi dalam daerah Sungai Siput pada jam 9 pagi, 30 Julai 2026.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua mereka didakwa telah menyamar sebagai Penolong Pegawai Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi, masa dan tarikh sama.
Oleh demikian, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta samadan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chan Hong Yan.
Hong Yan dalam rayuan memohon mahkamah supaya kedua-dua anak guamnya dikenakan denda minimum dengan alasan masing-masing telah berkahwin dan mempunyai tiga anak serta ia adalah kesalahan pertama mereka.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama, masing-masing dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didenda RM2,000 setiap seorang dan dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Ridzuan telah ditamatkan perkhidmatan kontrak Penolong Pegawai Kesihatan KKM pada November 2025 bersama Khairul Alamin seorang pekerja kontrak telah datang ke chalet milik pengadu dengan memperkenalkan diri sebagai kakitangan awam dari Jabatan Kesihatan Perak untuk melakukan pemeriksaan susulan aduan kencing tikus di premis berkenaan.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya menyatakan tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengadu dan memintanya untuk membayar RM2,000.
Pengadu menyerahkan wang tersebut secara tunai sebanyak dua kali kepada tertuduh kerana terpaksa.
Bagaimanapun, semakan mendapati kedua-dua tertuduh bukan kakitangan KKM dan tidak mempunyai kuasa menjalankan pemeriksaan atau mengenakan bayaran bagi pihak kementerian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerani kanan KPTM didenda RM5,000, terima rasuah projek pasang karpet


