IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menafikan dakwaan pihaknya menghalau peniaga di sebuah tapak perniagaan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini, susulan isu pemotongan bekalan air yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, notis yang dikeluarkan pihaknya juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peniaga supaya menghentikan operasi atau mengosongkan tapak berkenaan.
Katanya, sebaliknya notis berkenaan dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan serta tanggungjawab institusi terbabit susulan masalah kebocoran paip utama dan tunggakan bekalan air hampir RM100,000 yang perlu diselesaikan.
“Notis yang dikeluarkan itu pun tidak kita menyatakan bahawa peniaga perlu berhenti berniaga atau mengosongkan tapak.
“Kita hanya memaklumkan tanggungjawab MAIPk sebagai pemilik tanah baharu dan kedudukan masalah yang telah berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini, pada Sabtu.
Majlis yang dirasmikan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini itu turut dihadiri Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Menurut beliau, MAIPk sudah mengadakan sesi libat urus bersama para peniaga pada 14 Julai lalu bagi menerangkan keadaan sebenar, termasuk keperluan memutuskan bekalan air sementara sebelum kerja pembaikan dapat dilaksanakan.
Jelas Syamsul Hazeman, masalah berkenaan sudah berlaku sebelum MAIPk menerima hak milik tanah itu pada 2024, menyebabkan institusi tersebut kini perlu menyelesaikan liabiliti yang diwarisi berkenaan.
Ujar beliau lagi, tunggakan hampir RM100,000 itu bukan berpunca daripada bil penggunaan air oleh peniaga, sebaliknya melibatkan saluran paip utama yang membekalkan air ke premis mereka mengalami kerosakan serta kebocoran.
“Semua peniaga sudah dimaklumkan bahawa MAIPk memang terpaksa memutuskan bekalan air terlebih dahulu sebelum tindakan pembaikan dapat dibuat.
“Kita sedang mencari jalan untuk menyelesaikan tunggakan itu termasuk berbincang dengan pihak Lembaga Air Perak (LAP) serta mendapatkan pandangan dan bantuan daripada kerajaan negeri.
“Perkara ini bukan mudah kerana ia di luar bajet dan kemampuan MAIPk, selain kita tidak boleh menggunakan sumber zakat atau wakaf untuk tujuan-tujuan seperti ini,” katanya.
Syamsul Hazeman berkata, sekiranya isu tersebut dapat diselesaikan, MAIPk akan melaksanakan kerja pembaikan sebelum mengatur semula urusan dengan peniaga, termasuk kemungkinan menyediakan kontrak sewaan baharu dengan kadar yang munasabah.
Beliau berkata, MAIPk merekodkan 24 unit gerai di tapak berkenaan, manakala 14 peniaga aktif dan berdaftar, dengan sebahagian daripada peniaga kemungkinan menggunakan lebih daripada satu unit.
Mengulas berkenaan cadangan pembangunan kompleks JAIPk di kawasan tapak sama, beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada kerajaan negeri dan ia masih berada di peringkat cadangan.
“Kita juga tidak tahu bila projek itu akan dilaksanakan, dan kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk urusan tersebut.
“Sekiranya sudah tiba masanya projek itu dibangunkan, peniaga perlu berlapang dada dan memberi laluan kepada projek berkenaan,” jelasnya.
Selain itu Syamsul Hazeman berkata, MAIPk bersedia berbincang sekiranya mereka berdepan kesukaran berkaitan punca pendapatan akibat isu tersebut.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial Threads mendakwa bahawa MAIPk tidak memberi sebarang notis pengosongan premis perniagaan di tapak tersebut sebaliknya terus memotong bekalan air yang digunakan peniaga terlibat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MAIPk taja 120 asnaf ikuti latihan pemanduan lori profesional


