Tiga lelaki ditahan, sindiket bantu rangkaian komunikasi penipuan dalam talian tumpas

IPOH – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket membantu rangkaian komunikasi penipuan dalam talian menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan itu dilaksanakan di lima lokasi sekitar Petaling Jaya, Kelana Jaya, Hulu Kelang dan Damansara.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 32 hingga 45 tahun itu dipercayai berperanan menyediakan kemudahan komunikasi bagi melancarkan kegiatan penipuan yang beroperasi dari luar negara.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas lapan unit simbox, 11 unit Starlink, 509 keping kad sim, sebuah komputer riba, dua unit router dan lima telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Alwi berkata, peralatan komunikasi yang dirampas dipercayai digunakan sebagai ‘call gateway‘ bagi membantu menguruskan laluan aliran komunikasi sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai beroperasi dari luar negara.

“Penggunaan peranti berkenaan dipercayai bertujuan menyukarkan pihak berkuasa menjejaki panggilan yang dibuat oleh sindiket terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar susulan satu laporan kes penipuan melibatkan seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 22 tahun yang menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut.

“Kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran pada yang mendakwa terdapat kiriman bungkusan mengandungi barangan terlarang atas namanya pada 31 Julai lalu.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai penguat kuasa undang-undang dan mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

“Mangsa ditakutkan dengan tindakan tangkapan dan pendakwaan sebelum diarahkan memindahkan wang tunai RM8,999 ke beberapa akaun.

“Kemudian, mangsa diarahkan untuk meletakkan barang kemas terdiri daripada rantai, cincin, subang dan gelang emas, dianggarkan bernilai RM20,000, di atas tembok rumahnya.

“Mangsa dimaklumkan wang tunai dan barang kemas berkenaan akan diserahkan semula selepas siasatan selesai, namun menyedari dirinya ditipu apabila kesemua barangan berkenaan tidak dikembalikan sebelum membuat laporan polis pada 1 Ogos lalu,” katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 17 Ogos bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bapa rayu bantu kesan anak hilang, disyaki jadi mangsa sindiket penipuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI