IPOH – Pengundi hari ini semakin matang dalam menilai prestasi sesebuah kerajaan dan wakil rakyat, termasuk melihat jurang antara janji, manifesto dengan pencapaian sebenar.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, rakyat kini mahu mengetahui sama ada kos sara hidup dapat dikawal, peluang pekerjaan mudah diperoleh, institusi negara boleh dipercayai dan wakil rakyat benar-benar mampu menyelesaikan masalah mereka.
“Rakyat hari ini semakin matang. Mereka ingin tahu sama ada kos sara hidup terkawal, sama ada pekerjaan mudah diperolehi, sama ada institusi boleh diyakini dan sama ada wakil rakyat benar-benar menyelesaikan masalah mereka.
“Sebagai seorang ahli politik, kita tidak perlu menghina atau memarahi sesiapa. Kita tidak perlu menjauhkan rakyat melalui bahasa yang kasar. Sebaliknya, kita mesti membuat perbandingan yang tertib, berasaskan fakta dan pengalaman sebenar rakyat.
“Jika ada janji reformasi yang masih belum menjadi kenyataan, kita perlu jelaskan kepada rakyat kerana mereka sedang memerhatikan. Peranan kita ialah menawarkan pilihan yang lebih stabil, lebih realistik dan boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Negeri Perak di MH Hotel yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak di MH Hotel, pada Ahad.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Dalam pada itu, Hang Soon berkata, kekuatan Barisan Nasional (BN) yang perlu ditonjolkan adalah keupayaan parti itu membina kepercayaan rakyat merentasi batas kaum.
“Kita mesti bercakap kepada pengundi Melayu tanpa menakutkan pengundi bukan Melayu. Kita mesti memperjuangkan kebimbangan masyarakat Cina dan India tanpa menimbulkan kecurigaan kaum lain.
“Kita mesti menghormati Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan, sambil mempertahankan maruah serta hak asasi serta hak yang sah semua rakyat Malaysia.
“MCA mempunyai peranan penting dalam usaha ini. Kita mesti menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti, bukan tembok yang memisahkan mereka,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRN Melaka: MCA tak mahu buat andaian kerjasama BN-PH, tunggu keputusan perbincangan


