IPOH – MCA masih menunggu perkembangan lanjut berhubung ura-ura kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang serta tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perkara tersebut.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, segala andaian mengenai bentuk kerjasama antara kedua-dua gabungan itu perlu dilihat berdasarkan perbincangan khusus di peringkat kepimpinan negeri dan seterusnya dibawa kepada pucuk pimpinan BN.
“Saya tahu daripada surat khabar itu saja. Jadi saya rasa banyak huraian, analisis, macam-macam. Ada yang kata kemungkinan pertama, gunakan persefahaman sebelum ini, ada yang kata ada bincang…Itu biasalah sebab huraian daripada semua penganalisa politik mungkin berlainan.
“Tapi ini kita dengarlah, kita tengok saja apa perkembangan. Sebab yang pentingnya ialah perbincangan secara khusus mengenai perkara ini.
“Kalau mereka yang buat andaian politik ataupun penganalisa politik, merasakan mana yang lebih baik, lebih logik dan mana yang lebih berkemungkinan berlaku, itu adalah tafsiran masing-masing.
“Segalanya bergantung kepada kepimpinan negeri, bincang, kemudian dibawa pada pucuk pimpinan BN di peringkat tertinggi untuk memperihalkannya dengan secara terperinci apa yang perlu dilakukan dan itu selalunya adalah satu tindakan secara kolektif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Negeri Perak di MH Hotel yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak di MH Hotel, pada Ahad
Hadir sama, Timbalan Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, BN juga masih belum memperincikan pembahagian kerusi kerana PRN Melaka belum dibubarkan, selain menunggu mesyuarat BN untuk membincangkan perkara berkenaan secara khusus.
“Saya rasa kita masih lagi menunggu mesyuarat BN di mana kita akan memperhalusi dan berbincang secara spesifik pembahagian kerusi selepas pembubaran (Dewan Undangan Negeri) diumumkan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PN sedia runding dengan BN hadapi PRN Melaka – Ahmad Samsuri


