IPOH – Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Perak di Hulu Perak berada pada tahap baik berdasarkan enam parameter utama yang digunakan dalam penilaian kualiti air sungai di Malaysia.
Enam parameter berkenaan ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Pepejal Terampai (TSS), nitrogen ammonia, pH (Kadar Keasidan atau Alkaliniti) dan oksigen terlarut (DO).
Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn. Bhd. Dr Abdul Rani Abdullah berkata, IKA menggunakan skala antara sifar hingga 100 dengan nilai lebih tinggi menunjukkan kualiti air yang lebih baik.
Beliau berkata, berdasarkan enam parameter berkenaan, kualiti air Sungai Perak sesuai digunakan sebagai sumber air mentah untuk dirawat secara konvensional.
“Air ini juga sesuai untuk ikan-ikan yang sensitif hidup. Tidak ada masalah berdasarkan parameter yang diambil kira dalam IKA.
“Bagaimanapun, kita perlu memahami bahawa IKA hanya berdasarkan enam parameter utama itu sahaja,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sekiranya terdapat parameter lain yang tidak termasuk dalam enam parameter IKA, ia perlu diambil kira secara berasingan bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan kualiti air sungai.
Beliau berkata, keadaan itu antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam kes Sungai Rui dan Sungai Perak, khususnya berkaitan kemunculan warna biru pada segmen tertentu sungai.
“Warna biru berkenaan hanya kelihatan pada segmen sungai selepas pertemuan Sungai Rui dengan Sungai Perak dan tidak berlaku secara menyeluruh dari kawasan pelepasan hingga ke lokasi berkenaan.
“Kenapa warna biru itu hanya ada pada segmen sungai selepas pertemuan dengan Sungai Rui? Kenapa tidak dari awal lagi selepas tapak pelepasan?
“Ini ada kena-mengena dengan kadar alir air di mana warna biru itu bukan warna yang sentiasa ada, sebaliknya kadang-kadang sahaja muncul dan bergantung kepada beberapa faktor yang perlu berlaku pada masa serta lokasi yang sama,” katanya.
Justeru itu, beliau yang juga Profesor Adjung Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, air sungai berkenaan masih sesuai bagi kegunaan yang dibenarkan temasuk sebagai sumber air mentah yang perlu melalui proses rawatan konvesional sebelum dibekalkan kepada pengguna.
Kataya,sampel air Sungai Perak yang diambil ketika kejadian air biru berlaku telah dianalis berdasarkan lebih 30 parameter bagi menentukan kualiti air tersebut.
“Saya selalu bergantung kepada data dan kalau kita lihat data parameter yang kami ukur kita kena tanya selamat ini untuk apa? Ia selamat untuk ciri air mentah untuk dirawat.
“Dari data kami juga untuk kualiti air mentah ia perlu dirawat secara konvensional dan berada di kategori Kelas II IKA itu tidak bermaksud ia boleh terus diminum secara terus tanpa perlu dirawat dan tidak ada air sungai sepatutnya diminum terus tanpa dirawat,” katanya. -MG Perak



