Kematian ikan di Sungai Perak berkemungkinan akibat TSS tinggi

IPOH – Kematian ikan susulan fenomena sungai biru yang berlaku di Sungai Perak di Gerik dipercayai berkemungkinan berpunca daripada kandungan pepejal terampai (TSS) yang tinggi berbanding kandungan logam.

Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn. Bhd. Dr Abdul Rani Abdullah berkata, TSS yang tinggi, khususnya selut daripada air larian kawasan perlombongan dan kawasan tanah terdedah, boleh memberi kesan terhadap sistem pernafasan ikan.

Menurut beliau, aktiviti perlombongan dan kawasan yang terbuka boleh menghasilkan air larian ketika hujan yang membawa kandungan pepejal terampai tinggi ke dalam sungai.

Katanya, keadaan itu menjadi lebih ketara apabila aliran dari Sungai Rui bertemu dengan Sungai Perak, sekali gus menyebabkan bahan pepejal terampai berkumpul di kawasan tertentu.

Kematian ikan di Sungai Perak berkemungkinan akibat TSS tinggi
Gambar keadaan Sungai Perak di Hulu Perak yang bertukar warna biru.

“Jadi apabila ia bertemu Sungai Rui dan Sungai Perak maka disinilah terkumpulnya pepejal terampai ini dan ia akan ada pada insang ikan.

“Hal ini akan ada kesan kepada ikan untuk menerima oksigen. Jadi itu satu-satu sebabnya kami rasa ikan itu mati,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan kandungan logam yang tinggi menjadi punca utama kematian ikan berdasarkan penilaian dan kajian yang dirujuk.

“Adakah logam yang tinggi ini boleh menyebabkan ikan mati? Saya rasa tidak.

“Kita ada satu nilai yang akan memberi kita idea sama ada kandungan logam dalam sungai boleh menyebabkan ikan mati. Nilai itu tidak menyokong bahawa logam akan menyebabkan ikan itu mati,” katanya.

Menurutnya, sifat logam juga menyebabkan bahan berkenaan lebih cenderung berada dalam sedimen di dasar sungai berbanding kekal lama di dalam air.

“Logam lebih suka berada dalam sedimen dan kalau dalam air, lama-kelamaan logam itu akan masuk dalam sedimen kerana itu adalah ciri logam,” katanya.

Ikan loma di Sungai Rui selamat dimakan – JAS

Sementara itu, Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar JAS Perak, S. Pravin berkata, ikan loma yang terdapat di Sungai Rui masih berada pada tahap selamat untuk dimakan meskipun sungai berkenaan mempunyai pelbagai kandungan mineral susulan fenomena air berwarna biru di Sungai Perak.

Jelasnya, Jabatan Perikanan sedang memberi tumpuan kepada kajian berkaitan ikan loma di Sungai Rui, termasuk di kawasan Dataran Loma di Gerik yang menjadi tumpuan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kajian tersebut kini sedang dijalankan dan hasilnya akan dimuktamadkan oleh konsultan yang dilantik oleh Jabatan Perikanan.

Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar JAS Perak, S. Pravin ketika sesi penerangan punca Sungai Perak bertukar biru di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OGOS 2026.

“Untuk ikan loma ini, ia masih boleh hidup walaupun Sungai Rui mempunyai pelbagai mineral.

“Meskipun ada kandungan (mineral) yang diserap oleh ikan itu, secara teknikalnya ikan itu masih selamat untuk dimakan kerana tahapnya masih berada pada paras selamat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kandungan yang terdapat dalam ikan loma didapati tidak selamat untuk dimakan, pihak berkuasa tidak akan membenarkan orang ramai mengambil atau memakan ikan berkenaan.

Mengulas lanjut, Pravin berkata, hujan lebat yang berlaku pada minggu kedua Oktober tahun lalu mungkin menjadi antara faktor mendorong mineral dari kawasan sekitar dihanyutkan ke sistem sungai.

Katanya, berdasarkan data tidak rasmi yang diterima berkaitan taburan hujan, kawasan berkenaan lazimnya menerima sekitar 30 milimeter (mm) hujan, namun jumlah itu meningkat sehingga 90mm pada minggu berkenaan.

“Pada minggu kedua itu memang hujan sangat lebat dan biasanya kalau hujan sekurangnya 30mm (taburan), tetapi pada minggu itu ia mencecah sehingga 90mm.

“Jadi, paras air hujan memang sangat tinggi pada masa itu dan mungkin berlaku proses wash down, menyebabkan mineral yang ada pada masa itu banyak dibawa masuk ke sungai,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI