IPOH – Skuad Belang Tiga Warna yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menunjukkan prestasi memuaskan meskipun tidak mencapai sasaran pungutan pingat yang ditetapkan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, hanya dua negeri iaitu Selangor selaku tuan rumah dan Melaka berjaya melepasi sasaran pungutan pingat manakala negeri-negeri lain termasuk Perak tidak mencapai sasaran.
Menurutnya, terdapat beberapa sukan yang dijangka boleh menghasilkan pingat khususnya emas tetapi tersasar.
“Tersasar itu bukan kerana atlet kita tidak baik ataupun atlet kita kurang prestasi dan sebagainya. Contohnya saya ambil Silambam, sukan Silambam dulu kita menang enam pingat emas tetapi tahun ini kita menang satu pingat emas dan lima pingat perak.
“Mungkin lima pingat emas yang dimenangi itu disebabkan perkara-perkara melibatkan dari segi taktikal, teknikal dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak Tahun 2026 di M Roof Hotel, di sini malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Khairudin berkata, sasaran pungutan pingat ditetapkan berdasarkan perbincangan dan pandangan pengurus pasukan serta jurulatih, selain mengambil kira kedudukan ranking, persiapan dan tahap prestasi atlet.
“Ada sukan-sukan yang sepatutnya menawarkan atau memberi pingat yang baik kepada kita sebab dalam proses meletakkan sasaran.
“Sasaran itu bukan daripada saya, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak atau ketua kontijen, tetapi ia ditetapkan selepas mendapat pandangan dan juga perbincangan bersama dengan pengurus pasukan serta jurulatih,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa sukan berjaya mencatatkan pencapaian lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan, termasuk menembak, angkat berat dan badminton.
“Paling mengujakan pasukan ragbi kita walaupun hanya mendapat pingat perak tetapi berjaya dalam masa 32 tahun manakala sukan seperti e-sport dan Muay Thai masih konsisten, setiap sukan mereka memberi pingat.
“Cuma kita kena lihat dan saya pun dah minta MSN Perak untuk kita buat post mortem secara berfasa. Maksudnya sukan yang mencapai prestasi yang baik, sukan yang tidak mencapai atau sukan yang memberi bonus. Kita ada jumlah sukan yang tak capai sasaran ini 21 jenis sukan.
“Kita akan buat dan mungkin ada best practices yang dibuat oleh sukan-sukan tertentu ni kita kena kongsi dengan sukan-sukan lain untuk dijadikan sebagai panduan di masa-masa akan datang supaya persiapan kita lebih baik,” jelasnya.
Khairudin yang mewakili kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kesiapsiagaan kontinjen Perak berada pada tahap terbaik.
“Apa pun kita dah cuba yang terbaik, inshaAllah masih ada ruang ada peluang yang boleh kita perbaiki dan saya cukup yakin kalau kita mampu perbaiki segala kelemahan itu kita akan berjaya,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa aspek teknikal dan pengadilan perlu diberi perhatian khusus, terutama bagi sukan yang melibatkan penilaian subjektif.
“Kita berharap supaya Majlis Sukan Negara mempunyai mekanisme untuk meletakkan sukan subjektif khususnya dari segi pengadilan dan teknikal berada dalam keadaan yang cukup baik,” ujarnya.
Pada SUKMA Selangor 2026, kontijen Perak menduduki tangga ketujuh dengan mencatat kutipan keseluruhan sebanyak 119 pingat iaitu 32 emas, 36 perak dan 51 gangsa.
Sebelum ini, Perak menyasarkan 160 pingat secara keseluruhan dengan 50 pingat emas pada kejohanan yang masuk tahun ke 26 itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


