IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) bagi mengesan dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dilaporkan hilang susulan banjir yang melanda pada Rabu lalu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya menerusi Wisma Putra akan berusaha sedaya upaya mendapatkan perkembangan terkini berhubung kedua-dua pegawai terbabit dari semasa ke semasa.
“Kita (KPKT) menerusi Wisma Putra akan cuba sedaya upaya untuk membantu mencari (dua pegawai JBPM yang dilaporkan hilang).
“Saya memang meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa demi keselamatan dan kesejahteraan dua wira merah yang setakat ini belum dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Ekspo Jom Makan Ipoh 2026 di pekarangan Palo 101, di sini malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan keluarga dua warga JBPM itu untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai mereka.
“Pasukan bomba kita sentiasa berhubung rapat (dengan keluarga). Sekiranya kita dapat maklumat terkini, kita akan sampaikan.
“Hati kita tetap bersama dengan mereka. Setiap saat kita berdoa untuk keselamatan dua-dua wira merah ini adalah antara anggota yang cemerlang,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul anatara rakyat Malaysia yang gagal dikesan susulan kejadian banjir besar yang melanda Nepal baru-baru ini.
Kedua-dua pegawai itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC).
Pada 26 Ogos lalu, satu runtuhan glasier berhampiran sempadan Nepal–Tibet mencetuskan satu bencana banjir kilat rentas sempadan yang melanda Gyirong di Tibet dan Rasuwa di Nepal. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Nepal: 17 Rakyat Malaysia laksana upacara keagamaan di Kailash gagal dihubungi


