Enam pendaki hilang di Gunung Gerah selamat – Polis

GERIK – Enam pendaki termasuk empat sekeluarga yang dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GBB) di Hutan Simpan Lojing, Kelantan dilaporkan selamat.

Difahamkan, perjalanan kumpulan tersebut mengambil masa berikutan seorang daripada mereka mengalami kecederaan yang masih belum dipastikan tahapnya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, selepas pihaknya berjaya menghubungi seorang malim gunung yang mengiringi kumpulan berkenaan sekitar jam 5.30 petang tadi.

“Sudah dapat berhubung dengan malim gunung dan semua pendaki selamat. Kita akan buat proses penyelamatan,” katanya

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa operasi menyelamat akan dijalankan dengan mengerahkan pasukan penyelamat ke lokasi kumpulan terbabit.

Menurutnya, operasi berkenaan turut melibatkan penggunaan helikopter bagi membawa pasukan penyelamat sebelum mereka diturunkan di salah sebuah kem untuk meneruskan perjalanan menuju ke lokasi mangsa.

“Pasukan penyelamat akan naik hari ini juga,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon dilaporkan berkata, operasi SAR ini menggabungkan penggunaan aset darat, bot serta tinjauan udara bagi menjejaki kedudukan keenam-enam individu berkenaan.

Katanya, operasi SAR enam individu terbabit dipergiat dengan pesawat JBPM Mi-17 dari Pengkalan Udara Subang dijadual melakukan tinjauan udara di sekitar jalur pendakian.

Semalam media melaporkan, enam individu termasuk dua kanak-kanak memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GBB) pada 29 Ogos lalu.

Kesemua mereka termasuk dua malim gunung sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu namun sehingga kini gagal dihubungi.

Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Enam pendaki hilang di Trans GBB, operasi SAR guna aset darat, air, udara

Enam pendaki hilang di Trans GBB, operasi SAR tertumpu di laluan Perak – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI