IPOH – Usaha mengesan enam peserta ekspedisi pendakian Trans GBB (Gunung Gerah, Bilah dan Bieh) yang dilaporkan hilang dijalankan menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula hari ini membabitkan pelbagai agensi keselamatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, operasi SAR ini menggabungkan penggunaan aset darat, bot serta tinjauan udara bagi menjejaki kedudukan keenam-enam individu berkenaan.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan berhubung kehilangan kumpulan itu pada petang Ahad sebelum operasi pencarian dirancang untuk dimulakan pagi ini.
“Seramai lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama lima malim bomba telah digerakkan dari Jeti Trojan, Tasik Temengor menggunakan tiga bot menuju ke Pos Kemar, Gerik.
“Pasukan bomba menggunakan laluan air dengan menaiki bot, manakala 12 anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) dari Sungai Siput bergerak melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda menuju ke lokasi yang sama.
“Perjalanan pasukan MGP ke Pos Kemar dianggarkan mengambil masa kira-kira empat jam sebelum kedua-dua pasukan berkumpul di lokasi berkenaan,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, semua pasukan terbabit akan menyelaraskan pergerakan di Pos Kemar sebelum pencarian diteruskan mengikut pelan operasi yang dipersetujui bersama agensi berkaitan.
“Mesyuarat penyelarasan operasi masih dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dengan agensi berkaitan bagi memperincikan strategi pencarian dan pembahagian tugas antara pasukan penyelamat.
“Pos Kawalan Hadapan (PKH) akan diwujudkan di Pos Kemar, sementara Pos Kawalan Operasi (PKOP) pula dijangka ditempatkan sama ada di IPD Gerik atau Balai Bomba Gerik,” ujarnya
Dalam pada itu, Sayani berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga bagi membantu operasi sekiranya keperluan untuk mengesan jejak atau kedudukan mangsa dikenal pasti.

“Bagaimanapun, Unit K9 JBPM belum digerakkan ke kawasan pencarian kerana pihak operasi masih menunggu maklumat lanjut berhubung lokasi dan strategi pencarian yang akan digunakan.
“Bagi memperluaskan kawasan pencarian, aset udara dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang pula dijadualkan berlepas pada jam 2 petang untuk menjalankan tinjauan dari udara.
“Tinjauan udara akan dimulakan dari lokasi terakhir keenam-enam individu itu dikesan pada 1 September sebelum pencarian diperluaskan ke arah Pos Kemar,” katanya.
Katanya, operasi SAR itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am (PGA), JBPM serta pasukan MGP.
Sayani berkata, kekuatan anggota dan jumlah agensi yang terlibat boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan operasi serta keperluan di lapangan.
Semalam media melaporkan, enam individu termasuk empat beranak dikhuatiri hilang selepas mendaki gunung di Gua Musang, Kelantan pada 29 Ogos lalu.
Kesemua mereka termasuk dua malim gunung sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu namun sehingga kini gagal dihubungi.
Dua malim gunung yang dikenal pasti adalah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, sementara identiti empat beranak itu adalah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaikha Norizan, 39, serta dua anak mereka iaitu Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raief, 9. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Nepal: KPKT, Wisma Putra usaha kesan dua pegawai bomba hilang


