IPOH – Masalah kekurangan tempat letak kereta (TLK) di Hospital Seri Manjung bakal ditangani menerusi penstrukturan semula kemudahan parkir kepada 1,310 lot berbanding 650 lot ketika ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kelulusan cadangan pelaksaan Pengurusan Parkir TLK (tempat letak kereta) secara penyumberluaran (outsourcing) di hospital berkenaan.
Menurut beliau, projek berkenaan memberikan jumlah tambahan lot parkir melalui kemudahan TLK mekanikal dan menaiktaraf serta penyusunan semula lot-lot TLK dalam kawasan hospital.
“Jumlah lot TLK sedia ada bagi awam dan warga hospital adalah sebanyak 650 lot, manakala selepas penstrukturan jumlah itu akan meningkat kepada 1,310 lot.
“Ini bermakna sebanyak 660 lot baharu akan ditambah, iaitu peningkatan kapasiti parkir sebanyak 101.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu
Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, pelaksanaan projek berkenaan akan melalui fasa kerja-kerja awalan yang dijangka bermula 1 Disember 2026 sehingga 31 Julai 2027.
Jelas beliau, sepanjang fasa itu syarikat konsesi perlu membangunankan semua prasarana yang diperlukan termasuk menyediakan dataran parkir yang lengkap dengan permukaan bertar bersama garisan dan kemudahan longkang serka kerb bagi memastikan aliran trafik lancar dalam kawasan parkir.
Katanya, penstrukturan itu turut mengambil kira keperluan warga hospital apabila sebahagian lot parkir dikhaskan untuk kegunaan kakitangan dan tidak dikenakan sebarang bayaran.
“Daripada jumlah keseluruhan 1,310 lot itu, sebanyak 586 lot disediakan untuk awam manakala 724 lot untuk kakitangan hospital.
“Bagi lot yang dikhaskan untuk kakitangan hospital, ia dikecualikan daripada sebarang bayaran,” katanya.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, kajian mengenai pelaksanaan parkir bertingkat turut menjadi antara asas pertimbangan KKM dalam menangani masalah kekurangan TLK di Hospital Seri Manjung.
Beliau berkata, kemudahan parkir mekanikal di Hospital Seri Manjung dirancang untuk mula dibangunkan pada April 2027 dan dijangka tersedia untuk digunakan mulai 1 Ogos 2027.
“Parkir mekanikal ini turut menambah sebanyak 30 unit lot parkir dan membolehkan sistem parkir diurus secara lebih teratur tanpa pembaziran ruang,” katanya.
Sivanesan berkata, secara keseluruhannya kerja-kerja pembinaan fizikal projek parkir berkenaan dijadualkan bermula 1 Disember 2026 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2027. -MG Perak


