Dakwaan Hospital Taiping tiada doktor pelatih tidak tepat – Exco

IPOH — Dakwaan yang disiarkan oleh sebuah portal berkaitan hak asasi manusia berhubung perkhidmatan kesihatan yang menyatakan bahawa Hospital Taiping tidak mempunyai pegawai perubatan siswazah (HO) adalah tidak tepat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, Datuk A Sivanesan berkata, beliau telah bertemu dengan Pengarah Hospital Taiping dan mendapatkan penjelasan mengenai keadaan penempatan kakitangan hospital berkenaan.

Menurutnya, pada masa ini, seramai 219 orang pegawai perubatan (MO) sedang berkhidmat di hospital tersebut terdiri daripada 137 orang MO berjawatan tetap, 62 orang MO berjawatan kontrak dan 20 orang MO yang telah menamatkan latihan siswazah manakala 46 perjawatan masih belum diisi.

“Berdasarkan keperluan operasi semasa yang merangkumi pengurusan pesakit, penerimaan kes rujukan daripada hospital-hospital dalam Kluster Perak Utara serta pengurusan kemasukan pesakit akut, keperluan optimum MO di hospital berkenaan dianggarkan seramai 273 orang.

“Dari segi penempatan HO, Hospital Taiping pada masa ini mempunyai 93 orang HO berbanding 231 slot latihan yang diperuntukkan iaitu kadar pengisian sebanyak 40.3 peratus.

“Keadaan ini menunjukkan kekurangan sebanyak 138 orang HO daripada slot latihan yang tersedia dan seterusnya turut memberi implikasi terhadap agihan beban tugas MO dalam pelaksanaan perkhidmatan klinikal,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sivanesan berkata, setakat ini HO tidak boleh ditempatkan di setiap jabatan dan hanya ditempatkan di enam jabatan sahaja.

“Di setiap hospital pakar, kita mempunyai pegawai perubatan siswazah, tetapi mereka ditempatkan di enam jabatan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, artikel berkenaan adalah berdasarkan surat yang dihantar kepada portal berkenaan oleh seorang individu yang meluahkan rasa keletihan serta kebimbangan terhadap keadaan pesakit.

“Saya tidak mengatakan semua yang terkandung dalam artikel itu tidak benar. Saya tidak mengatakan semuanya salah. Ada perkara yang benar di dalamnya dan kami akan menelitinya,” katanya.

Bagaimanapun, Sivanesan menggesa pihak penerbitan supaya mendapatkan pengesahan fakta daripada pihak berkaitan sebelum menerbitkan laporan mengenai isu kesihatan, kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan orang awam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Hospital Seri Manjung bakal ada 1,310 lot parkir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI