Kes denggi melonjak 66 peratus, 62 kematian direkodkan

PUTRAJAYA – Kes denggi di Malaysia meningkat sebanyak 66 peratus kepada 65,979 kes sehingga minggu epidemiologi ke-35 tahun ini berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Manakala jumlah kematian turut melonjak 93.8 peratus kepada 62 kes berbanding 32 kes pada 2025, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini berhubung perkembangan semasa penyakit denggi.

Menurut beliau, peningkatan jumlah kes dan kematian itu menunjukkan usaha membanteras penularan denggi perlu dipergiatkan khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah atau berlaku wabak.

“Setakat minggu epidemiologi ke-35, kita melihat peningkatan sebanyak 66 peratus kes berbanding minggu yang sama pada 2025.

“Pada tahun lalu, sebanyak 39,616 kes direkodkan, manakala tahun ini jumlahnya meningkat kepada 65,979 kes,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, jumlah kematian akibat denggi bagi tempoh sama turut meningkat daripada 32 kes pada 2025 kepada 62 kes tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 93.8 peratus.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menyampaikan kenyataan pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto AIMAN RIZAL, 09 SEPTEMBER 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai pencapaian dan kejayaan program pembiakan nyamuk Wolbachia, termasuk pelaksanaannya di kawasan Punca Jaya.

Bagaimanapun katanya, terdapat perkara yang perlu diberi perhatian apabila aktiviti semburan kabus atau fogging dijalankan di kawasan yang mempunyai nyamuk ber-Wolbachia.

“Nyamuk Wolbachia mampu menghalang virus denggi daripada berkembang dan seterusnya mengurangkan keupayaan nyamuk Aedes menyebarkan virus.

“Namun, nyamuk Wolbachia boleh terbunuh akibat proses fogging. Jadi, itu adalah antara perkara yang telah dimaklumkan,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah keperluan meningkatkan usaha gotong-royong secara besar-besaran bagi memastikan kawasan pembiakan nyamuk dapat dikawal.

Katanya, usaha berkenaan perlu diberi keutamaan terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah serta lokasi yang sedang berdepan wabak denggi.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat amat penting bagi memastikan usaha membendung penularan denggi dapat dilaksanakan secara berkesan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI