IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman 11 individu termasuk enam penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Norizan Riduan ke atas tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Rabu.
Majistret membenarkan permohonan SPRM untuk menahan kesemua individu berkenan selama enam hari sehingga Isnin depan bagi menjalankan siasatan lanjut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, semua suspek yang dibawa menaiki kenderaan SPRM tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.15 pagi sebelum dibawa keluar lebih sejam kemudian.
Pada Selasa, kesemua suspek yang terdiri daripada empat ejen dan enam anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu ditahan kira-kira jam 10.00 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Siasatan awal mendapati, enam penjawat awam berkenaan telah bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama lima individu lain yang berperanan sebagai orang tengah sekitar tahun 2025.
Kesemua suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu dalam urusan tukar hak milik kenderaan melibatkan 16 nombor pendaftaran klasik.
Kejayaan membongkar sindiket itu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan SPRM dengan kerjasama JPJ sejak enam bulan lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa siri tangkapan susulan bagi membantu siasatan kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SPRM tahan pendakwah bebas disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta


